ASEAN perlu perkukuh keupayaan bertindak hadapi cabaran geopolitik - Utusan Malaysia

ASEAN perlu perkukuh keupayaan bertindak hadapi cabaran geopolitik

ASEAN 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN dan negara Asia-Pasifik perlu memperkukuh keupayaan bertindak serta mengamalkan tindakan kolektif bagi membentuk masa depan serantau, bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan susunan global yang semakin berpecah.

Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof. Dr. Mohd. Faiz Abdullah berkata, negara di rantau ini perlu mempunyai keupayaan membentuk hasil melalui pilihan dasar yang disengajakan, penglibatan strategik serta kerjasama serantau lebih kukuh.

Katanya, cabaran yang dihadapi ketika ini bukan lagi sekadar mengimbangi prinsip dengan pragmatisme, sebaliknya mengekalkan keupayaan bertindak (agency) sendiri dalam keadaan geopolitik yang semakin tidak menentu.

“Keupayaan bertindak tidak seharusnya diukur berdasarkan cara sesebuah negara bertindak balas terhadap tekanan luar, tetapi melalui kemampuan mereka membentuk hasil menerusi pilihan yang disengajakan, tindakan kolektif dan penglibatan strategik.

“Bagi ASEAN dan rantau yang lebih luas, ia bermula dengan mengukuhkan kapasiti dalaman serta daya tahan di peringkat nasional dan serantau, selain memastikan penyampaian barangan awam yang konsisten tanpa mengira kejutan global atau ketidaktentuan geopolitik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada pembukaan sesi pleno pertama Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39 di ibu negara, hari ini.

Mohd. Faiz berkata, daya tahan yang kukuh membolehkan sesebuah negara melibatkan diri dengan kedudukan lebih baik dan akhirnya berupaya menentukan hala tuju sendiri, bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan dalam perintah antarabangsa.

“Walaupun keupayaan bertindak sering dikaitkan dengan kuasa besar, bagi kebanyakan negara di rantau ini ia merupakan satu keperluan bagi mengekalkan autonomi strategik, memperluaskan pilihan dasar serta bertindak secara sengaja walaupun berdepan tekanan.

“Negara bukan semata-mata ditentukan oleh sejarah, sebaliknya turut berperanan sebagai pencorak sejarahnya sendiri,” katanya.

APR ke-39 yang berlangsung dari 30 Jun hingga 2 Julai itu membawa tema Accelerating Agency and Action.

Menurut ISIS Malaysia, persidangan kali ini menandakan peralihan daripada perbincangan yang sebelum ini tertumpu kepada usaha mengemudi ketidaktentuan geopolitik kepada pengukuhan daya tahan serantau dan tindakan kolektif ketika perintah berasaskan peraturan global berdepan pemecahan serta persaingan strategik.

Empat fokus utama persidangan ialah paksi China-India, daya tahan ASEAN dalam persaingan kuasa besar, keselamatan nuklear serta geopolitik mineral utama dan rantaian bekalan.

Menurut Mohd. Faiz, perbincangan sepanjang persidangan akan meneliti bagaimana keupayaan bertindak dapat diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna, termasuk melalui perbahasan mengenai peranan China dan India, masa depan institusi ASEAN, pertimbangan nuklear dalam pemikiran strategik serta kepentingan mineral utama, daya tahan ekonomi dan keselamatan rantaian bekalan.

Beliau berkata, APR bukan sekadar platform akademik, sebaliknya ruang bagi peserta mencabar andaian sedia ada dan mengemukakan idea yang mampu membentuk dasar masa depan.

“Diplomasi Trek Kedua mempunyai nilai kerana ia mengisi ruang yang tidak dapat dimainkan oleh diplomasi rasmi.

“Kami memahami kedudukan rasmi, tetapi kami tidak dikekang olehnya. Kami bertanya soalan sukar untuk mendapatkan jawapan yang tidak menyenangkan,” katanya.

Persidangan turut menampilkan beberapa dialog berprofil tinggi termasuk melibatkan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke mengenai pembinaan keupayaan bertindak kuasa pertengahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama pada hari terakhir persidangan, Khamis, sebelum mengadakan sesi dialog. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN