Tiga 'tokan' dadah berdepan hukuman gantung sampai mati - Utusan Malaysia

Tiga ‘tokan’ dadah berdepan hukuman gantung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga China bakal berdepan hukuman gantung sampai mati selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah setelah ditahan di sebuah kondomium di BDC di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abd Latif berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berkenaan berusia antara 27 hingga 28 tahun.

Menurutnya, sebelum itu, pasukan serbuan telah menahan suspek lelaki di tempat letak kenderaan di situ pada pukul 6.30 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan badan dan kenderaan kemudian tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Suspek tersebut kemudian membawa pasukan serbuan pergi ke kondomium berkenaan sebelum menahan kedua-dua wanita warga asing itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, pemeriksaan lanjut di kondominium berkenaan telah menemui dadah jenis ketamin seberat 233 gram.

Katanya, polis juga menjumpai campuran serbuk ekstasi dan jus buah-buahan seberat 135.7 gram dan Erimin 5 sebanyak 64 biji atau 18.1 gram.

“Turut disita dalam serbuan tersebut ialah sebuah kereta jenis Perodua Myvi SE, seutas rantai emas berserta loket dan sebentuk cincin emas.

“Saringan awal air kencing terhadap suspek lelaki mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua wanita berkenaan negatif dadah,” katanya.

Sementara itu, Sahar memberitahu, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula esok sehingga 17 Oktober depan untuk siasatan lanjut.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

“Suspek lelaki terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini