Tenang hadapi cabaran cuaca - Utusan Malaysia

Tenang hadapi cabaran cuaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBASIKAL touring adalah salah satu cara melancong dengan kos paling minimum, bebas berhenti di mana saja yang kita suka.

Itulah yang dilakukan dalam kayuhan anjuran Geng Kembara Basikal (GKB) yang turut disertai penulis pada 15 hingga 20 September 2018. Kami memulakan perjalanan dari Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim. Pagi itu hujan lebat. Selepas solat, kami menaiki feri, seterusnya ke Padang Kota Lama untuk bergabung dengan penunggang basikal tempatan yang diurus oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatannya, Rashidah Jalaludin, 41, berkata, peserta bukan dari satu kawasan, malah ada yang dari Perak, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya,kayuhan itu mampu memberi pendedahan mengenai keindahan Pulau Pinang.

“Dengan sokongan MBPP dan dibantu tiga kumpulan basikal tempatan termasuk kakitangan majlis, program ini mencapai matlamatnya,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak kumpulan lain turut melakukan aktiviti sebegini kerana selain dapat mengenal kemampuan diri, mereka juga dapat mengelilingi pulau, melihat keindahan sepanjang perjalanan dan menikmati kemudahan disediakan di pulau itu.

Sementara itu, Presiden GKB, Zainal Abidin Ahmad, 63, berkata, program kali ini menyaksikan 22 peserta lelaki dan tiga wanita terlibat.

Menurutnya, program itu diadakan bagi meraikan sambutan Hari Malaysia dan laluan itu dipilih kerana mereka belum pernah berbasikal mengelilingi Pulau Pinang.

“Peserta termuda berusia 18 tahun, tiga peserta berusia 60-an, empat peserta (50-an) dan selebihnya berumur 30 hingga 40 tahun,” katanya kepada S2.

Menurutnya, selain dapat melancong, aktiviti itu juga dapat mengeratkan silaturahim dan ukhwah sesama peserta.

Dalam pada itu, katanya, misi mereka turut membawa mesej bahawa aktiviti berbasikal adalah selamat dan sesuai untuk semua peringkat umur, asalkan dilakukan dengan betul.

Mengulas lanjut, katanya, basikal touring ini berbeza dengan basikal lain kerana ketahanan untuk membawa bebanan diberi keutamaan.

Katanya, bingkai (frame) jenis chromoly steel menjadi pilihan kerana lebih kuat berbanding dengan bingkai aluminium, seperti bingkai MTB dan RB. Kemudian, ia dipadankan dengan rim saiz 700c. Ditambah pula rack dan pannier bag untuk membawa pakaian,peralatan perkhemahan dan peralatan asas membaiki kerosakan. Aksesori lain yang wajib ada ialah lampu depan dan belakang, helmet, sarung tangan dan tiub tambahan.

Anak jati Pulau Pinang, Nur Azmin Abu Bakar,56, bangga kerana dapat mengiringi rakan-rakan mengeliling pulau, sekali gus menjadi duta memperkenalkan laluan itu kepada mereka.

“Kami tak duga hujan lebat. Memang mencabar dan kami teruskan juga kayuhan sebab kesuntukan masa untuk sampai ke homestay,” katanya.

Bermula dari Padang Kota Lama, peserta berhenti di tempat menarik untuk bergambar dan kesemuanya berjaya menamatkan kayuhan ke Taman Belia sejauh kira-kira 82 km. Dari situ, kami meneruskan baki kayuhan sejauh sembilan km menuju ke jeti untuk menaiki feri.

Keesokan harinya, kayuhan dilakukan dari Seberang Prai menuju ke Kuala Kangsar, meliputi 109 km. Kayuhan awal pagi disambut hujan. Nasib baik, cuaca baik pada sebelah petang. Selain itu, cuaca panas dihadapi dengan tenang dan perjalanan agak landai di kebanyakan tempat.

Hari ketiga menyaksikan kami berkayuh dari Kuala Kangsar ke Tapah sejauh 123 km. Cuaca panas terik dengan bukit tinggi dan panjang perlu dihadapi. Terdapat dua bukit tinggi yang mendaki sehingga 10 hingga 15 darjah. Kami mendaki Bukit Perang dalam cuaca panas 38 darjah selsius.

Di Kuala Kangsar, kami dijamu menu istimewa di rumah keluarga Riduan Mohd Zulkifli sebelum menuju ke inap desa di Masjid Ridzwaniah.

Esoknya pada hari keempat, kami singgah untuk bergambar di pokok getah tertua negara, Galeri Sultan Azlan Shah dan Masjid Ubudiah, selain Kellie Castle untuk bergambar.

Hari terakhir menyaksikan kami berkayuh dari Tapah ke Tanjung Malim. Perjalanan agak landai dengan jarak 77 km. Menariknya, sebahagian kami menaiki lori bersama basikal untuk balik ke Kuala Lumpur. Satu pengalaman berharga dan luar biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN