JOHOR BAHRU 17 Okt. – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat, adalah lebih bagus jika perkhidmatan kesihatan di negeri ini ditambah baik berbanding merancang membina semula jambatan bengkok ke Singapura.
In my opinion, it’s Better to go ahead with the hospital in pasir gudang that government tunda and increase healthcare budget for the state. All hospitals in JB including districts need more beds and medical equipment. Just my humble opinion. https://t.co/1GqLf0Sqco
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 16, 2018
Beliau berkata, ini kerana perkhidmatan kesihatan di negeri ini memerlukan penambahbaikan terutama membina semula Hospital Pasir Gudang seperti yang ditangguhkan ketika ini.
“Naikkan peruntukan yang lebih untuk kesihatan di Johor. Semua hospital di daerah Johor Bahru termasuk di daerah-daerah perlukan lebih banyak katil dan kemudahan perubatan.
“Ini hanya pendapat saya yang ikhlas dan jujur,” demikian tulisan putera sulung Sultan Johor itu yang dimuat naik dalam akaun Twitter milik baginda, malam tadi.
Semalam Menteri Besar, Datuk Osman Sapian memaklumkan kerajaan negeri dalam usaha merealisasikan impian tertunda Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membina jambatan bengkok yang bakal menghubungkan Johor dengan Singapura.
Hospital Pasir Gudang dengan kos RM500 juta sebelum ini sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 di kawasan seluas 20.23 hektar di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Bagaimanapun, pembinaan hospital berkenaan dan beberapa projek lain di negeri ini ditangguhkan kerana nagara sedang menanggung beban hutang yang tinggi. – UTUSAN ONLINE










