PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhasrat menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebagai contoh pilihan raya adil dan bersih selaras dengan visi dan matlamat suruhanjaya berkenaan sebagai institusi pilihan raya yang efisien, adil dan beramanah.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun turut mengingatkan dan menyarankan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada PRK itu agar mematuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi selama 14 hari bermula Sabtu lepas sehingga pukul 11.59 malam 12 Oktober ini.
“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam demi menjamin satu pilihan raya yang bersih, beretika dan adil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azhar seterusnya menyeru agar setiap calon atau parti politik bertanding tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya seperti mengadakan majlis penjamuan serta pemberian hadiah dan barangan bagi tujuan memancing undi.
“Penggunaan kemudahan dan aset kerajaan, program kerajaan serta aktiviti kempen berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitivi agama juga tidak dibenarkan. Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya. – Bernama











