KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan semua pemainnya masih dalam tempoh percubaan untuk mencari ramuan terbaik meskipun mereka telah menunjukkan petanda positif ketika menundukkan Sri Lanka 4-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sugathadasa, Colombo kelmarin.
Pada aksi tersebut, skuad Harimau Malaya terlebih dahulu dibolosi jaringan pasukan tuan rumah menerusi sentuhan Subash Madushan pada minit ke-29.
Malaysia kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi sentuhan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-62 dan Adam Nor Azlin meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-76.
Penantian untuk menyaksikan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh berakhir dengan baik apabila berjaya melengkapkan kemenangan Malaysia dengan dua jaringan peribadinya pada minit ke-85 dan ke-90 perlawanan.
“Meskipun gandingan barisan hadapan Sumareh, Norshahrul dan Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak telah menunjukkan petanda baik kepada pasukan, namun ia masih dalam proses pemerhatian.
“Memang kali ini saya memanggil beberapa pemain senior, berbanding sebelum ini. Namun, ia tidak bermakna saya lebih mengutamakan mereka berbanding pemain muda.
“Kita perlu tahu mereka (pemain) masih dalam tempoh pemerhatian dan sebarang perubahan serta pelbagai kemungkinan mungkin akan berlaku menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) Suzuki 2018 November depan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada masa sama, bekas pengendali Kedah itu juga memberitahu, tiada masalah baginya meskipun kali ini beliau menurunkan muka berbeza berbanding beberapa aksi persahabatan sebelum ini.
“Bagi saya ia tidak menjadi masalah kepada pasukan kerana setiap pemain yang dipanggil mempunyai kelebihan masing-masing.
“Saya perlu berikan peluang kepada semua pemain yang berbakat untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan, kemudian barulah saya boleh pilih dan membuat keputusan terbaik,” ujarnya.
Skuad negara bakal beraksi dalam satu lagi aksi persahabatan berdepan Republik Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka Selasa depan, sebelum perlawanan terakhir menentang Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 November.
Aksi persahabatan itu merupakan persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2018 bermula 8 November hingga 15 Disember yang mana Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.











