BATU PAHAT 6 Okt. – “Biar saya dapatkan penjelasan daripada beliau dahulu, saya tak boleh nak komen dahulu (kena) dapat maklumat yang tepat, takut nanti maksud dia lain kita lain susah pula”.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkaitan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang kerajaan tidak mencampuri urusan individu di sebalik pintu yang bertutup.
Aminolhuda berkata, beliau akan merujuk dengan Mujahid sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi akan membawa maksud berbeza dengan apa yang dinyatakan Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani ditemui pemberita selepas merasmikan Program Intervensi Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) Daerah Batu Pahat 2018 di Sekolah Kebangsaan Seri Telok di Parit Yaani, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Chew Peck Choo dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim, Helmi Sha’ri. -UTUSAN ONLINE











