KUANTAN 7 Okt. – Pakatan Harapan (PH) akan memulakan pecutan akhir kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bermula esok.
Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pimpinan utama pakatan tersebut akan berada di Port Dickson esok bagi meneruskan pecutan akhir kempen PRK berkenaan.
Beliau berkata, pecutan akhir itu dilakukan bagi memastikan calon PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar.
“Kita yakin Anwar akan menang tetapi kita tidak angkuh dan menjalankan kempen secara sederhana, mesra rakyat dan berhemah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Mahkota Bahasa anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Dewan Serbaguna Pusat Dagangan Mahkota di sini hari ini.
PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Anwar, calon Pas, Mohd. Nazari Mokhtar dan bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang bertanding sebagai calon Bebas.
Turut bertanding sebagai calon Bebas ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen. – UTUSAN ONLINE









