KEMAMAN – Perjalanan seorang posmen di tempat kerja berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas kenderaan pelbagai guna, Nissan Grand Lavina dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 110, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kampung Labohan di sini hari ini.
Amir Hamzah Zulkifli, 27, yang cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan akibat kemalangan berlaku pada pukul 7.30 pagi itu meninggal dunia selepas tujuh jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Kemaman di sini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Amir Hamzah dalam perjalanan ke tempat kerja di Pejabat Pos Kerteh dekat sini dari rumahnya di Sura Gate, Dungun.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai jenis, Nissan Grand Livina yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan.
“Impak daripada rempuhan itu menyebabkan kenderaan tersebut terbalik dan mangsa pula tercampak keluar sejauh beberapa meter di tengah jalan raya,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE











