PAKAR ekonomi dan politik pembangunan terkemuka di Asia Tenggara, PROFESOR DR.
JOMO KWAME SUNDARAM, 66, mengakui politik wang menjadi punca kerakusan bekas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, keluarga serta kroninya yang bertanggungjawab
meruntuhkan ekonomi negara sehingga berada pada tahap kritikal sekarang.
Semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan
SAHIDAN JAAFAR, Jomo yang dilantik menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan
sejak Mei lalu berkata, sikap Najib itu agak aneh, ibarat ‘menang sorak, kampung
tergadai’. “
Yang sedihnya, negara tergadai, dan kerugian kita bukanlah sedikit.
1MDB sahaja melibatkan kerugian berpuluh bilion ringgit, barangkali di sekitar
RM40-60 bilion!” katanya. Berikut adalah bahagian pertama wawancara tersebut.
MINGGUAN: Prof. pernah menulis buku Warisan Ekonomi Mahathir (2005). dan kini Prof. turut dilantik menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Adakah Prof. berasa gembira dengan pelantikan ini?
Jomo: Selama ini, kerja-kerja yang saya usahakan bertujuan mencapai keadilan serta kemajuan. Ini jelas daripada semua tulisan serta ucapan saya. Walaupun pihak tertentu mungkin tidak senang dengan kritikan saya, Alhamdulillah, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin telah memberi peluang kepada saya untuk terus berusaha ke arah itu dalam era Malaysia Baharu. Kita harus akui, zaman telah berubah, keadaan berubah, apa yang boleh dan harus dilakukan juga telah berubah.
Kalau tidak, kita hanya bersifat degil.Walaupun saya lama di luar negara, barangkali saya antara mereka yang mula mengkritik pemerintahan yang dahulu tentang dasar cukai, hutang serta liabiliti kerajaan, peranan syarikat kaitan kerajaan dan perusahaan milik pemerintah, dasar pembangunan dan perindustrian, agihan ekonomi, pemusatan kuasa di Jabatan Perdana Menteri, serta projek pasti rugi yang bertujuan mendapatkan wang untuk PM serta konconya seperti ECRL.
Tetapi kritikan terhadap sesuatu yang rosak mesti disusuli dengan cadangan baik lagi bernas untuk masa depan tanah air. Kita harus belajar, bukan sahaja daripada kejayaan, tetapi juga daripada kegagalan. Pengalaman saya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah banyak mengasah kemampuan kami.
Misalnya dalam menangani krisis kewangan antarabangsa 2008-2009, menggubal cadangan memastikan semua penduduk dunia mampu dan dapat menikmati kuasa elektrik ‘bersih’ atau ‘hijau’ (iaitu tanpa kesan buruk terhadap alam sekitar, terutamanya pemanasan bumi), ataupun membaiki pemakanan serta kesihatan penduuk dunia dengan membaiki sistem makanan.
Jelas, bahawa Dr. Mahathir ingin menyambung semula usaha lamanya untuk meningkatkan kemampuan teknologi Malaysia supaya dapat mengeluarkan barang atau benda yang lebih canggih. Saya berharap kami dapat membantu usaha mulianya dengan merebut peluang ini selepas 9 Mei, akibat penipuan serta pencurian maha besar 1MDB itu.
Apakah tumpuan kini tertumpu menangani skandal 1MDB sebagai usaha pemulihan ekonomi negara bagi mengelak krisis lebih besar?
Jomo: Kerakusan bekas PM Datuk Seri Najib Tun Razak serta keluarga dan kroni telah merosakkan ekonomi negara. Pengurusan ekonomi BN-Najib cukup lembab kerana harga yang terlalu tinggi dibayar oleh kerajaan serta perusahaan yang dikuasainya untuk projek yang tidak akan pulangkan modal, sedangkan harta kerajaan dijual, biasanya dengan harga murah kepada kroni.
Mereka menjadi kaya dengan menipu rakyat yang akhirnya terpaksa menanggung beban ketamakan mereka. Hutang kerajaan telah berlipat ganda pada zaman Najib, sedangkan hutang dijamin kerajaan meningkat dua kali ganda. Hutang ECRL misalnya, tidak akan mula dibayar sehingga tujuh tahun kemudian.
Dengan cara demikian, generasi akan datanglah yang akan menanggung hutang, pokok serta bunga terkumpulnya serta belanja operasinya.Tetapi punca masalah ini ialah politik wang. Jawatan politik direbut untuk jadi kaya, sedangkan hanya orang kaya mampu merebut jawatan politik.
Perbelanjaan merebut jawatan dianggap sebagai pelaburan. Akibatnya, perhubungan serta kenalan menjadi lebih penting daripada kebolehan, kemahiran, kelayakan dan kemampuan.
Dengan ramai pekerja asing, mungkin sekitar tujuh juta orang, banyak majikan enggan melabur untuk meningkatkan daya pengeluaran, misalnya dengan mekanisasi. Pendapatan meningkat akibat usaha pekerja asing yang tidak terkira atau diakui, bukan akibat kemajuan teknologi atau produktiviti.
Wacana tentang transformasi nasional menjadi omong kosong dengan cogan kata menarik berbunyi hebat daripada Barat, terutamanya Bank Dunia atau World Economic Forum, yang ditiru dan diterjemahkan tanpa pemahaman mendalam tentang implikasinya, misalnya dengan penyalahgunaan istilah ‘Revolusi Industri 4.0’ di Malaysia.
Ekonomi diuar-uar pesat semasa di bawah rejim Najib. Apabila berlaku peralihan kuasa kepada Pakatan Harapan, keadaan menjadi sebaliknya. Apakah berlaku manipulasi petunjuk prestasi ekonomi semasa rejim lama?
Jomo: Selama sepuluh tahun dari 1988 sehingga 1997, ekonomi Malaysia pernah tumbuh dengan kadar lebih daripada 8 peratus, seperti juga pada tahun 1970-an, setelah dasar pembangunan dan perindustrian baharu diperkenalkan. Setelah 1998, kadar pertumbuhan purata sekitar lima peratus selama dua dasawarsa, termasuk dasawarsa Najib, yang baharu tamat.
Kalau dahulu perindustrian telah membantu pencapaian pertumbuhan pesat, tetapi sektor perkilangan semakin mengecut pada dekad ini, dari segi bahagian keluaran ekonomi nasional dan juga pekerjaan. Dasar-dasarnya yang membawa apa yang digelarkan perangkap pendapatan menengah (middle income trap).
Menurut Najib, Malaysia mencapai tahap ekonomi lebih tinggi dengan mengembangkan perkhidmatan menggantikan perindustrian. Tetapi kebanyakan pekerjaan perkhidmatan yang berkembang merupakan perkhidmatan tradisional, sedangkan kebanyakan perkhidmatan moden sebenarnya dalam sektor awam.
Untuk menarik sokongan politik setelah prestasi lemah BN dalam PRU-12 tahun 2008, secara dasarnya mereka cuba membeli sokongan tanpa mempedulikan kesannya terhadap ekonomi dalam jangka panjang. Bilangan pekerja awam bertambah berlipat ganda dalam satu dasawarsa!
Bayaran gaji dan lain-lain sering dinaikkan. Ini pula digambarkan sebagai kenaikan produktiviti atau daya pengeluaran perkhidmatan moden Malaysia. Beberapa pegawai tinggi terutamanya di Kementerian Kewangan diberi jawatan serta ganjaran tambahan yang lumayan.
Oleh demikian, kadar pengangguran di Malaysia memang rendah. Malah, bilangan pekerja asing di Malaysia lebih tinggi walaupun tidak diakui secara rasmi. Bekas Menteri Sumber Manusia pernah mengakui bahawa menurut anggaran syarikat telekomunikasi, terdapat 6.7 juta pekerja asing. Tetapi yang berada di sini dengan izin dan diakui secara rasmi sekitar 2.2 juta.
Dahulu, buruh asing tertumpu kepada sektor pertanian, pembinaan, perkhidmatan tradisional, kerja 4D yang ‘teruk, kotor, bahaya, dan upah rendah’. Tetapi ekonomi kita kini sudah bergantung kepada pekerja asing, dalam sektor perkilangan, perkhidmatan moden, dan sebagainya.
Tenaga kerja Malaysia dikatakan sekitar 15 juta daripada penduduk sekitar 32 juta. Maka, tenaga kerja rakyat Malaysia sekitar 13 juta, sedangkan pekerja asing sekitar 35 peratus. Tetapi kerana hanya sebahagian kecil (2.2 juta) pekerja asing, atau kurang daripada satu pertiga diakui atau diiktiraf, semua angka ekonomi Malaysia diherotkan.
Angka purata keluaran, pendapatan dan daya pengeluaran seorang lebih tinggi daripada keadaan sebenar kerana 4.5 juta pekerja asing tidak diakui dan diambil kira. Ini menjadikan sebahagian besar angka ekonomi rasmi kita semacam berita palsu! Kita seolah-olah hidup dalam ekonomi khayalan!
Adakah projek kereta Nasional 2.0 relevan dilaksanakan sekarang?
Jomo: Syor Dr. Mahathir itu sebenarnya mencerminkan kekecewaannya kerana Malaysia tidak lagi berusaha untuk menguasai teknologi industri canggih, seperti yang perlu untuk membuat kereta auto. Dengan projek Proton dahulu, beliau mengharapkan Malaysia akan cepat maju, negara boleh menjadi moden dengan menguasai kemampuan, kemahiran dan kebolehan membuat barang industri canggih dengan nilai yang tinggi.
Sebuah ekonomi tidak dapat maju hanya dengan mengimport barang dari luar negara, sedangkan kemampuan pengeluaran serta pengeksportnya terhad. Malangnya, banyak ekonomi yang kaya dengan sumber asli tidak berjaya mempelbagaikan kemampuan mengeksportnya kerana sudah kaya dengan pendapatan daripada eksport sumber aslinya; ini digelar ‘sumpahan sumber’ (resource curse). Kekayaan itu menyebabkan nilai mata wang kuat atau mahal, dan harga barang import murah. Ini pula membantutkan usaha memajukan kemampuan lain, terutamanya penguasaan teknologi yang canggih.
Fenomena ini juga digelarkan ‘penyakit Belanda’ (Dutch disease)yang bermula di sana setelah gas petroleum asli ditemui selepas Perang Dunia Kedua. Namun, kerajaan Belanda berjaya menjadikan Belanda pengeksport pertanian dengan mengguna teknologi maju yang kedua di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).
Keadaan masa kini jauh berbeza dengan keadaan empat dasawarsa lalu. Ketika menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Dr. Mahathir menubuhkan HICOM, ataupun Heavy Industries Corporation of Malaysia. Kadar pemilikan kereta di Malaysia sekarang antara yang tertinggi di dunia, melampaui AS dan Australia! Penangguhan usaha memajukan pengangkutan awam, yang dianggap sebagai cara memajukan industri kereta, telah membawa kadar tinggi ini.
Tetapi sekarang, pengeluaran kereta di Rayong, Thailand pula jauh melebihi pengeluaran di semua negara anggota ASEAN lain, termasuk Malaysia. Langkah baharu untuk melindungi sebuah lagi perusahaan kereta Malaysia sudah tentu akan ditentang di peringkat antarabangsa melalui WTO (World Trade Organization) dan di tahap ASEAN oleh jiran kita.
Pada peringkat antarabangsa juga, dunia telah banyak berubah. Orang ramai lebih mementingkan perkhidmatan pengangkutan awam yang baik. Kesedaran tentang ‘pemanasan global’ pula menyebabkan meningkatnya permintaan sumber ‘tenaga yang boleh diperbaharui’ (renewable energy) apabila permintaan kereta elektrik akan meningkat.
Dahulu, hampir seluruh kereta Proton dapat dikeluarkan di Malaysia kecuali enjinnya. Kereta elektrik tidak menggunakan enjin petrol atau diesel. Orang ramai telah lupa bahawa Dr. Mahathir pernah menggalakkan penyelidikan bio diesel minyak sawit mulai tahun 1980-an dan juga kereta elektrik mulai tahun 1990-an kalau tak silap saya.
Walaupun perusahaan Proton masih bergantung kepada kerajaan, beberapa pembekal alatnya berjaya bersaing pada peringkat dunia . Misalnya, syarikat Ingress mengeluarkan dan membekalkan alat buatannya di Rayong, dan membuka kilang di tempat lain, termasuk India.
Cadangan Dr. Mahathir itu patut dianggap sebagai cabaran kepada rakyat Malaysia untuk memikirkan masa depan kemajuan ekonomi yang melibatkan teknologi industri. Mereka yang menganggapnya sebagai keluhan orang nyanyuk yang degil tidak memahami niat dan hasrat murninya untuk terus memajukan Malaysia.
Wawasan 2020 beliau ingin menjadikan Malaysia dengan masyarakat yang maju, bukan hanya kaya. Malangnya, pembicaraan dan pengulasan dewasa ini telah melupakan cita-citanya. Dr. Mahathir telah kembali berkuasa pada usianya 93 sekarang dengan hasrat membaiki penyelewengan yang pernah berlaku, termasuk penyalahgunaan kuasa yang berkait dengan 1MDB dan juga pada zaman pemerintahnya sendiri. Kita harus menyahut seruannya termasuk cabaran bagi Malaysia zaman ini.











