Polis Perlis tidak setuju penanaman pokok ketum secara komersial - Utusan Malaysia

Polis Perlis tidak setuju penanaman pokok ketum secara komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. secara peribadi tidak bersetuju sekiranya cadangan kerajaan membenarkan tanaman pokok ketum sebagai tanaman komersial untuk menjana pendapatan rakyat dilaksanakan.

Ketua Polis Perlis itu berkata, cadangan itu boleh mengundang penyalahgunaan selain menyuburkan aktiviti penyeludupan khususnya ke Thailand.

“Polis khuatir kerana daun ketum boleh disalah guna malah air tanaman herba itu boleh dicampurkan dengan ubat nyamuk yang mampu memberi mudarat kepada peminumnya.

“Kita sedia maklum harga daun ketum boleh mencecah RM80 sekilogram bagi pasaran Thailand.

“Kes-kes penyeludupan daun ketum turut berlaku dengan aktif ke Thailand dan penyeludup ini bijak serta kreatif untuk mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur itu berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan beberapa aspek penting perlu diberi perhatian serius.

“Setakat ini, kesalahan daun ketum untuk tujuan komersial dan diharamkan mengikut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952.

“Sekiranya kesalahan itu mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 itu lebih baik dan ramai pihak boleh memberikan perhatian serius kerana pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat.

“Namun, setakat ini, kita menangani kes-kes penyeludupan di Perlis ini dengan serius dan banyak tangkapan telah dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan, kerajaan bersedia untuk mengadakan perbincangan serta pertimbangan semula terhadap cadangan penanaman pokok ketum atau nama saintifiknya mitragyna speciosa yang memiliki nilai perubatan tinggi sebagai tanaman komersial untuk menjana pendapatan rakyat.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pihaknya sedia bertemu bagi mendapatkan pendapat pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan mengenai cadangan tersebut.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan usaha kerajaan yang menyasarkan sumbangan industri herba kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM2.2 bilion menjelang tahun 2020.

“Tiada masalah untuk membawa cadangan tersebut ke Kabinet tetapi kita mahu ia dilakukan dengan menyeluruh supaya tanaman pokok ketum dan tanaman pokok herba lain mampu memberikan manfaat dalam perubatan dan orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di Auditorium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia di Kepong, Kuala Lumpur semalam.

Difahamkan, harga daun ketum ini boleh mencecah RM30 sekilogram bagi pasaran negara ini sementara di Thailand berharga RM80 bagi satu kilogram.

Kes-kes penyeludupan daun ketum berlaku hampir setiap hari di Perlis kerana pagar sempadan yang mudah dirosakkan, laluan tikus selain faktor bukit bukau dan kawasan pergunungan.

Tanaman daun ketum secara komersial lebih menguntungkan berbanding mengusahakan sawah atau mempelam harumanis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN