KUALA LUMPUR 6 Okt. – Perdana Menteri mengingatkan kalangan warga emas di negara terus bekerja dan bergiat aktif walaupun telah melalui tempoh persaraan.
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mengekalkan keaktifan pada usia tua bukan sekadar untuk fizikal, tetapi untuk minda.
Katanya, pelbagai perkara boleh dilakukan warga emas seperti membaca, menulis dan berfikir untuk melatih minda masing-masing.
“Saya percaya untuk terus bekerja. Amat penting untuk warga tua terus berfikir, membaca dan melatih otak atau sebaliknya anda anda menjadi tua dan terpaksa bergantung pada orang lain,” katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi : Memperkayakan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti di Petrosains, Suria KLCC di sini hari ini.
Persidangan itu merupakan anjuran Persatuan Media Era Ketiga Kuala Lumpur dan Selangor.
Yang turut hadir ialah Presiden Media Era Ketiga, Cheah Tuck Wing dan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. -UTUSAN ONLINE











