KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak akan terus memperkasakan kawalan di kawasan sempadan negara dalam memastikan tahap keselamatan negeri ini terjamin.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof berkata, tahap kawalan di kawasan sempadan negara perlu ditingkatkan terutamanya membabitkan kawasan yang menjadi sasaran sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Menurutnya, tindakan memperkemaskan serta memantapkan keselamatan di sempadan negara secara langsung dapat memerangi masalah kebolosan penyeludupan membawa masuk dadah, senjata api dan pendatang asing tanpa izin ke negeri ini.
“Kita akan meningkatkan lagi kawalan dan rondaan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimatan Barat dan jika perlu anggota PGA di setiap pos kawalan akan ditambah dari semasa ke semasa.
“Tidak juga dapat dinafikan dengan operasi-operasi yang dilakukan iaitu Op Libas, Op Batas dan Op Awas yang merupakan elemen penting dalam memastikan keadaan sempadan sentiasa terkawal,” katanya ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin, Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Superintendan Rosdi Inai.
Sementara itu, Azman memberitahu, PGA Sarawak merekodkan jumlah hasil rampasan Op Libas, Op Batas dan Op Awas sebanyak RM12 juta setakat 15 Oktober lalu.
Katanya, kejayaan rampasan itu membabitkan pelbagai barang merangkumi kayu balak, kayu bergergaji, minyak diesel, gula, rokok, minuman keras dan mercun serta lain-lain barangan.
“Nilai rampasan yang direkodkan itu meningkatkan kira-kira RM5 juta berbanding RM7.03 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu,” jelasnya lagi. – K! ONLINE










