MELAKA 17 Okt. – Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk menghina institusi tertinggi di negeri itu termasuk Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob berhubung isu penerimaan anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banda Hilir itu turut memaklumkan beliau akan akur dan mematuhi sekiranya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengarahkan beliau untuk memulangkan semula gelaran Datuk yang diterimanya pada 13 Oktober lalu.
Kok Kiew memberitahu, beliau secara peribadi memohon maaf kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri berikutan polemik berhubung penganugerahan darjah tersebut sehingga dilihat boleh mencemarkan imej negeri ini.
“Sekali lagi saya ingin melafazkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan tertinggi negeri iaitu TYT Tun dan saya menghormati institusi Raja-raja Melayu seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya juga mengambil maklum dan akur keputusan pimpinan DAP Pusat bahawa semua pimpinan parti tidak boleh menerima apa-apa anugerah pingat dan darjah kebesaran sewaktu berkhidmat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat beliau di Banda Hilir di sini sebentar tadi.
Kok Kiew yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin adalah dua pemimpin DAP negeri yang dianugerahkan DMSM sempena sambutan ulang tahun ke-80 Mohd. Khalil pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun isu berkenaan timbul selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka yang membawa gelaran Datuk, sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat.
Menurut Kok Kiew, beliau kini menunggu arahan selanjutnya daripada CEC parti keputusan mesyuarat jawatankuasa itu dan akan akur sekiranya diminta memulangkan semula darjah tersebut. – UTUSAN ONLINE










