KUALA LUMPUR 16 Okt. – Sikap hipokrit dan ‘double standard’ penganjur dan penyokong pesta arak, Oktoberfest didakwa sengaja mahu mencetuskan provokasi untuk menguji kesabaran dan mencabar kesucian agama Islam dalam negara.
Walaupun amalan agama lain dibenarkan dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan namun, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, secara moralnya pesta arak seperti Oktoberfest itu tidak wajar dibenarkan atau digalakkan.
Malah, kata Ibrahim, ada negara Barat telah pun menghalang penganjurannya disebabkan pelbagai kejadian buruk yang berlaku selepas peserta mabuk.
“Sebelum ini sudah kecoh dengan pelbagai program kemungkaran dan bertentangan dengan peruntukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti program lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Jika budaya seumpama ini dibenarkan dan dibiarkan berterusan, maka tidak ada apa-apa makna lagi Islam sebagai agama Persekutuan. Malah majoriti rakyat yang beragama Islam juga disifatkan sebagai dayus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










