PADANG BESAR 17 Okt. – Lebih 500 penduduk dari kawasan Gapura Square dan Kampung Melayu di sini membantah pemasangan sebuah alat pemancar telekomunikasi di tingkat dua sebuah bangunan kedai di kawasan tersebut.
Dalam masa sama, mereka juga mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang memberi kelulusan pemasangan alat pemancar telekomunikasi tersebut yang didakwa tidak mengikut spesifikasi atau syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Malah penduduk juga bimbang kewujudan pemancar komunikasi yang terletak berhampiran penempatan penduduk itu akan menyebabkan kesihatan dan keselamatan mereka terjejas.
Wakil penduduk, Khoo Choon Wuei, 38, berkata, pihak MPK telah melanggar garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam soal pembinaan itu.
Katanya, berdasarkan garis panduan yang ditetapkan, pembinaan pemancar di atas bangunan tidak boleh melebihi separuh ketinggian permukaan tapak premis tersebut.
“Sepatutnya di bangunan setinggi 10.2 meter itu, mereka hanya boleh memasang pemancar yang dibenarkan dengan ketinggian 5.1 meter sahaja, sebaliknya pemancar tersebut dibina dengan ketinggian sembilan meter iaitu melebihi separuh daripada ketinggian bangunan.
“Kita juga kecewa apabila pembinaan pemancar itu dilakukan secara senyap-senyap tanpa disedari oleh penduduk. Kami hanya menyedari kewujudan pemancar tersebut pada Jun lalu,” katanya yang mewakili penduduk di dua kawasan itu di sini hari ini.
Tambahnya, berikutan itu, mereka telah membuat aduan mengenai perkara itu kepada MPK, walau bagaimanapun jawapan yang diberikan oleh pihak berkuasa itu sangat mengecewakan.
Katanya, MPK memaklumkan bahawa pembinaan tersebut telah diluluskan dan penduduk tidak boleh membuat bantahan lagi.
“Persoalannya bagaimana boleh lulus jika syarat yang ditetapkan sebelum ini gagal dipatuhi. Malah mereka juga sepatutnya meletakkan papan tanda mengenai pembinaan tersebut, namun malangnya perkara asas itu juga tidak dilakukan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abd. Razak Abd. Rahim, 31, berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab mempertimbangkan untuk mencari lokasi lebih sesuai bagi pembinaan pemancar tersebut.
“Kami harap MPK dapat menyelesaikan masalah ini, aduan daripada seorang dalam kes gerai jualan kuih (sebelum ini) mereka boleh ambil tindakan, takkanlah aduan ini yang melibatkan ratusan penduduk MPK tidak boleh bertindak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










