KUALA LUMPUR 10 Okt. – Tindakan kerajaan menghentikan projek Transit Aliran Massa Laluan 2 (MRT2) mengundang tindakan saman daripada pihak-pihak tertentu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa, tindakan mahkamah mungkin akan mengganggu proses pelantikan syarikat baru untuk menyambung projek tersebut.
“Difahamkan projek MRT 2 ini telah siap 40 peratus pembinaannya. Oleh itu, keputusan kerajaan memberhentikan projek ini mengundang tindakan saman untuk ganti rugi serta pampasan lain akibat penamatan kontrak tersebut.
“Jika ini berlaku maka kerajaan akan lebih menanggung kerugian. Kelewatan pelantikan syarikat baharu tentu akan melewatkan 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan untuk mendapatkan semula pekerjaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











