Pemandu teksi tidak puas hati - Utusan Malaysia

Pemandu teksi tidak puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Okt. – PeNETAPAN harga tambang yang tidak diseragam de­ngan baik menerusi aplikasi e-hailing yang digunakan oleh pemandu Grab dan teksi disifatkan ‘berat sebelah’ dan merugikan golongan pemandu teksi.

Pemandu teksi, Siti Aishah Ismail, 42 berkata, pelaksa­naan sistem harga tetap kepada pemandu teksi adalah tidak adil sedangkan tambang bagi pemandu Grab boleh berubah mengikut waktu dan kesesakan.

“Sangat tidak berbaloi bagi pemandu teksi untuk menghantar penumpang di kawasan yang jauh sedangkan harga tambang telah ditetapkan oleh aplikasi tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bayangkan beban masa dan kos bahan api yang kami tanggung ketika terperangkap pada waktu puncak sedangkan caj tetap sama sedangkan pemandu Grab dibenar untuk mengenakan tambahan caj perkhidmatan sebanyak RM 2 atau RM 3 bagi setiap perjalanan mengikut masa dan keadaan (waktu puncak).

“Adakah itu adil kepada pemandu teksi? Lebih baik kami menggunakan meter, bayaran­nya setimpal dengan kos dan kepenatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pemandu teksi Rosli Hamid, 60, membe­ritahu, ada masanya dia tidak akan mengambil penumpang ekoran harga yang ditawarkan menerusi aplikasi e-hailing terlampau murah.

“Saya hanya mengaktifkan aplikasi ini bila dah tak ada penumpang di sesuatu tempat.

“Tidak dinafikan e-hailing ini sistem yang bagus tapi perlu ditambah baik jika mahu menggalakkan pemandu teksi menggunakannya terutama berkaitan penetapan harga,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Nur Azihani Azizan, 26, pemandu teksi perlu bijak merebut peluang tersebut bagi memperluaskan perkhidmatan mereka dan bukannya mengharapkan pelanggan walk in semata-mata.

“Saya sudah menggunakan perkhidmatan ini sejak dua tahun dan ia menguntungkan apatah lagi bila setiap tempahan awal terus diberikan kepada pemandu teksi bukannya pemandu Grab,” katanya.

Dalam pada itu tinjauan Utusan Malaysia mendapati masih ramai pemandu teksi yang tidak arif tentang penggunaan aplikasi e-hailing disebabkan oleh pengaturcaraan pada telefon pintar dan penggunaan data Internet.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini