Pelumba muda ada potensi besar - Utusan Malaysia

Pelumba muda ada potensi besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Jaguh lumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang percaya, Malaysia mempunyai ramai pelumba pelapis yang berpotensi besar untuk menyinar di peringkat antarabangsa.

Begitupun kata juara keirin dunia 2017 itu bimbang, perkembangan mereka akan terjejas jika kurang diberi pendedahan bersaing di peringkat tertinggi.

“Potensi mereka (pelumba pelapis) besar dan dari segi taktikal serta corak kayuhan, saya nampak mereka ada keupayaan pergi lebih jauh. Mereka juga memiliki saiz yang baik tidak seperti saya. Bagaimanapun saya tetap boleh pergi jauh. Kalau saya boleh, kenapa mereka yang lebih berkelebihan tidak boleh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cuma di Malaysia kita kekurangan perlumbaan yang mampu memberi pendedahan meluas untuk membantu meningkatkan prestasi mereka. Program pelapis kita juga tidak begitu rancak,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Trek GP Asia Tenggara 2018 yang berakhir semalam.

Dalam kejohanan di Velodrom Nasional di Nilai itu, pelumba pelapis negara berjaya menampilkan keputusan positif apabila mendominasi dua acara utama melibatkan kategori lelaki junior – pecut dan keirin.

Dua pelumba muda negara, Amar Danial Masri dan Alif Aiman Safuan mengungguli acara pecut dengan merangkul emas serta perak, sementara dalam acara keirin, pingat emas dan perak menjadi milik Taib Azamuddeen Mohd. Shukri dan Amar Danial.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba pelapis, Zulhelmi Zainal yang bergandingan bersama Ariff Daniel Noor Roseidi, Muhd. Hakimi Nor dan Muhammad Shafiq Mohd. turut menuai emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan kategori elit.

“Saya lihat ada peningkatan dan berharap mereka akan terus diberikan peluang memperagakan aksi cemerlang pada Kejohanan Asia 2019, Januari depan,” kata Azizulhasni. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini