Mustapa tidak hadir sidang DUN - Utusan Malaysia

Mustapa tidak hadir sidang DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU –Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak hadir pada hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Tindakan Mustapa itu mengecewakan banyak pihak yang mahu bersemuka dengan beliau antaranya ialah Ketua Pembangkang sidang DUN, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Mustapa yang kini menjadi wakil rakyat tunggal Pakatan Harapan (PH) di negeri ini pada awalnya dikatakan bercadang menghadiri persidangan kali ini yang memberi fokus terhadap belanjawan negeri.

Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana beliau mempunyai urusan penting yang tidak dapat dielakkan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Md. Alwi yang juga ADUN Kok Lanas ketika ditemui pemberita pada sesi rehat mengakui hampa tidak dapat bertemu dan berbual dengan Mustapa pada sidang DUN kali ini.

“Kehilangan dia bukan masalah besar. Kita dulu ada dua (kerusi) , kemudian jadi enam, jadi 12, seterusnya jadi lapan dan sekarang tujuh. Itu perkara biasa dalam politik dan tak jadi masalah bagi BN.

“Tapi saya memang kecewa dia tidak hadir hari ini (semalam), mungkin sebab ada sidang Parlimen. Kalau dia ada, mungkin kita boleh tanya-tanya,” katanya.

Difahamkan, kelibat Mustapa juga tidak kelihatan pada sidang Parlimen di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Md. Alwi menegaskan, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu bukanlah satu ikon besar.

“Masalahnya ramai nak angkat dia sebagai ikon. Kita beri gambaran seolah-olah dia (Mustapa) ini ikon dan segala-galanya.

“Bagi saya dia bukan ikon, (ibarat) ku sangka permata rupanya kaca,” katanya.

Mustapa sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan keluar dari UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas sebelum mengumumkan menyertai Bersatu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN