ALOR SETAR – Keadaan banjir di lapan buah kampung di Baling dekat sini semakin buruk apabila jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 492 orang daripada 128 keluarga.
Lapan kampung yang terjejas adalah Kampung Batu 8, Kampung Kuala Kedua, Kampung Banggol Derom, Kampung Lahar, Kampung Haji Abbas, Kampung Bawah Gunung, Kampung Batu 48 dan Kampung Tanjung Merbau.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, sebanyak satu pusat pemindahan dibuka pada Isnin lalu diikuti masing-masing empat semalam dan hari ini.
“Sembilan pusat pemindahan tersebut adalah Kompleks Rakan Muda Baling, Dewan Keda Batu 8, Surau Kuala Kedua, Dewan Kampung Banggol Derom, Surau Kampung Lahar, Dewan Terbuka Batu 48, Dewan Kampung Haji Abbas, Dewan Kampung Charok Sikin dan Dewan Kampung Bawah Gunung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, jumlah mangsa paling ramai ditempatkan adalah di Kompleks Rakan Muda Baling iaitu seramai 176 orang daripada 50 keluarga.
Menurut Shamsul Izrin, banjir berlaku disebabkan oleh limpahan Sungai Ketil akibat hujan lebat berterusan selama tiga jam bermula pukul 6 petang semalam.
“Lapan kampung dinaiki air dengan kedalaman antara 0.5 hingga dua meter,” ujarnya. – K! ONLINE










