KETIKA kami tiba di premis menjual makanan laut Leeny’s Lobster yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, Nor Azlina Maaras, 30, dilihat begitu sibuk melayan pelanggan yang berkunjung ke kedainya.
Biarpun pada waktu itu mereka tidak henti-henti mengajukan soalan, namun gadis yang lebih mesra dipanggil Leen itu masih mampu tersenyum dan menjawab setiap soalan yang diutarakan satu demi satu.
Sebagai pengusaha udang kara dan ketam gergasi premium di Kuala Lumpur, itu merupakan situasi harian yang biasa dilalui oleh Leen.
Lebih-lebih lagi apabila dia memahami setiap pelanggan yang berkunjung ke kedainya mahukan hidangan makanan laut yang segar dan berkualiti.
Udang kara
“Saya telah menjalankan perniagaan menjual dan membekalkan udang kara sejak tiga tahun yang lalu.
“Fokus utama saya ialah untuk memberi peluang kepada pelanggan menikmati hidangan seperti udang kara, ketam gergasi, ikan salmon dan pelbagai hasil laut lain yang berkualiti pada harga yang berpatutan.
“Ini kerana, saya lihat kebanyakan kedai sering menjualnya pada harga yang begitu tinggi. Jadi ia agak mustahil untuk dinikmati oleh seisi keluarga.
“Justeru dengan kewujudan kedai ini, mereka boleh membeli secara mentah dan memasaknya sendiri mengikut cita rasa yang diinginkan. Ia ternyata lebih menjimatkan,” jelasnya.
Berbekalkan wang tabung hasil bekerja sebagai pemetik buah di Australia, dia berjaya membuka premis makanan Leeny’s Lobster di Jalan Pahang pada tahun 2015.
Biarpun begitu, memahami kesibukan golongan warga kota hari ini, graduan Sarjana Muda jurusan Seni Fotografi daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut memperkenalkan servis penghantaran secara terus di hadapan pintu rumah.
“Selain daripada jualan di premis dan penghantaran sekitar Lembah Klang, kami turut mempunyai ejen di sekitar Semenanjung iaitu di Johor, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Pahang dan Kedah.
“Di sini, kami mempunyai lebih 50 jenis makanan laut premium untuk dinikmati oleh penggemar makanan laut di sekitar Lembah Klang.
“Antaranya ialah udang kara, ketam Perancis, ketam raja gergasi, ketam raja Alaska, isi udang, ikan salmon, dan macam-macam lagi.
“Bukan itu sahaja, kedai ini turut menjual udang kara air tawar yang dijual pada harga RM37 untuk satu pek,” ceritanya.
Udang suntik
Selain makanan yang diimport, Leen turut menjual tangkapan laut segar dari Malaysia yang kebanyakannya diambil daripada nelayan-nelayan sekitar Klang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Menurut Leen, disebabkan mahu memberikan kualiti makanan yang terbaik kepada pelanggannya, dia akan turun ke laut dan melihat sendiri makanan tersebut sebelum dijual di premisnya.
“Sekarang ini hasil laut memang banyak terdapat di pasaran, namun dari segi kualiti makanan tersebut, ia belum tentu terjamin.
“Seperti kes udang viral yang pernah popular awal tahun lalu, ramai yang teruja untuk membeli kerana harganya yang murah.
“Bagaimanapun, tanpa mereka ketahui, kebanyakan udang viral terutamanya yang dibekalkan dari Thailand disuntik dengan sejenis cecair bagi menjadikannya lebih berat. Cecair tersebut mampu memberi kesan kepada kesihatan individu untuk jangka masa panjang.
“Disebabkan itu, saya begitu teliti dalam memilih makanan yang dijual bagi mengelakkan pelanggan daripada tertipu,” jelasnya.
Cerita Leen lagi, dia turut membuat kajian terhadap makanan yang dijualnya.
“Pada awal penglibatan dalam bidang ini, saya akui kurang pakar dalam makanan laut. Bagaimanapun, selepas sering ditanya oleh pelanggan, saya terpanggil untuk membuat kajian.
“Dari situ, saya tahu sumber apa yang elok dan tidak untuk manusia.
“Percaya atau tidak, saya menghabiskan masa hampir berbulan-bulan lamanya untuk membuat kajian terhadap setiap jenis makanan yang dijual di sini,” jelasnya.










