KANGAR 3 Okt. – Calon Ketua PKR Cabang Arau, Asrul Nizan Abd. Jalil menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR segera menetapkan tarikh baharu pemilihan parti itu di Perlis.
Beliau berkata, hal demikian penting agar semangat lebih 6,000 ahli parti itu di Perlis untuk memilih calon pilihan mereka tidak luntur selepas proses pengundian yang sepatutnya berlangsung 23 September lalu ditangguhkan.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, pihaknya sangat berharap JPP dapat mengadakan pemilihan semula di Perlis itu secepat mungkin atau seboleh-bolehnya pada minggu depan.
“Kita percaya JPP sudah melakukan penambahbaikan dalam sistem e-undi agar masalah yang berlaku sebelum ini tidak lagi berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Proses pengundian pemilihan barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan peringkat cabang PKR Perlis yang dijadual berlangsung pada 23 September lalu terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada penambahbaikan sistem e-undi.
Sebelum itu, proses pengundian PKR di beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang juga terpaksa ditunda berikutan masalah teknikal berkaitan sistem e-undi yang mula diperkenalkan pada pemilihan parti itu, kali ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Asrul Nizan berkata, beliau percaya Rafizi Ramli masih mempunyai peluang menang jawatan Timbalan Presiden meskipun pada masa ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang mendahului.
“Pada masa ini, Rafizi telah meminta meminta JPP parti itu membatalkan keputusan pemilihan pusat cabang Labis di Johor selepas terdapat dakwaan campur tangan pengawas JPP yang mengundi bagi pihak anggota parti.
“Ini termasuk dakwaan terdapat 1,000 undi ragu. Jika kedua-dua faktor ini diambil kira, Rafizi masih mempunyai peluang memintas undi Mohamed Azmin,” katanya yang merupakan calon daripada pasukan Rafizi. – UTUSAN ONLINE










