Jerung kepala bonet spesies pertama jerung makan tumbuhan - Utusan Malaysia

Jerung kepala bonet spesies pertama jerung makan tumbuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah sekian lama, ikan jerung kepala bonet iaitu ahli keluarga kepala tukul dianggap mengamalkan rejim pemakanan karnivor yang ketat.

Bagaimanapun, saintis bahagian ekologi dan evolusi biologi Universiti Califonia, Samantha Leigh mendedahkan, spesies pemangsa itu turut makan tumbuhan hijau.

Spesies Sphyrna tiburo itu mengamalkan diet omnivor yang memainkan peranan penting terhadap nutrisi pemakanan haiwan tersebut.

Sebelum ini, ramai penyelidik beranggapan ikan jerung kepala bonet itu makan tumbuhan hijau secara tidak sengaja ketika memburu ketam di dasar laut dan haiwan itu dipercayai tidak menyerap sebarang nutrisi daripadanya.

Leigh dan pasukannya mendapati, sebanyak 62 peratus tumbuhan laut terdapat dalam diet haiwan pemangsa itu diperoleh daripada hidangannya yang juga merangkumi krustasia dan moluska.

“Ikan jerung kepala bonet bukan sahaja mampu makan tumbuhan hijau laut namun berupaya menghadam dan menyerap nutrisi tumbuhan itu.

“Oleh itu, spesies tersebut dikategorikan sebagai omnivor.

“Ia merupakan spesies jerung pertama yang menunjukkan strategi diet dan pencernaan omnivor,” jelasnya.

Selama hampir tiga minggu, pasukannya itu melakukan siri percubaan makmal dengan memberi jerung itu makan 90 peratus diet tumbuhan hijau, manakala 10 peratus lagi sotong.

Analisis itu memerhatikan jumlah nutrisi yang diambil haiwan tersebut dan berapa banyak yang diserap.

Tidak semua karnivor mampu mencerna tumbuhan secara efisien, namun pasukan tersebut mendapati, berat badan jerung pemakan tumbuhan itu kesemuanya semakin meningkat.

Penghadaman haiwan itu sama tinggi manfaatnya seperti mengambil serat dan hidupan organik, tidak ubah seperti strategi pemakanan spesies penyu laut.

Sistem penghadaman

“Ikan jerung kepala bonet ini memiliki sistem penghadaman yang sama seperti spesies karnivor lain, namun setelah mendapati haiwan itu mampu memberikan reaksi seperti omnivor semestinya ia suatu pengalaman menakjubkan,” ujarnya lagi.

Tumbuh di air masin dan payau, tumbuhan hijau ini terdapat di serata perairan bumi.

Ia membantu menapis air dan menyerap lebihan karbon dioksida dari atmosfera.

Tumbuhan laut juga ibarat rumah dan nurseri ribuan ikan serta haiwan intebrata menjadikan ikan jerung kepala bonet spesies paling beruntung.

Walaupun tidak memiliki rahang sekunder yang kebanyakan haiwan herbivor gunakan untuk mengunyah tumbuhan, ia memiliki asid perut tinggi yang membantu pencernaan.

Dianggarkan sebanyak 4.9 juta ikan jerung kepala bonet di perairan Amerika Syarikat, Teluk Mexico dan Atlantika.

Leigh menjelaskan, penemuan itu pastinya memberi implikasi terhadap pengurusan dan konservasi tumbuhan laut.

Katanya, pemahaman mengenai jenis tumbuhan, pencernaan haiwan pemangsa laut dan penyerapan adalah kritikal dalam formulasi keberkesanan konservasi tumbuhan.

Peranan makhluk itu dahulunya dipandang rendah dalam ekosistem laut.

“Justeru, penilaian semula peranan jerung dalam habitat tumbuhan hijau laut perlu dilakukan semula.

“Bagaimanapun, para penyelidik tidak mengetahui sejak bila haiwan pemangsa itu mula mengambil tumbuhan hijau sebagai strategi diet,” katanya lagi.

Berdasarkan penemuan itu, Leigh tidak menafikan kemungkinan terdapat jerung pemakan tumbuhan lain di luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN