SURUHANJAYA Sekuriti (SC) telah mengeluarkan notis dengan mengarahkan penganjur Lavida Coin untuk menghentikan serta-merta semua aktiviti promosi berkaitan Lavida Coin sementara penelitian lanjut dijalankan. Malah SC juga menyenaraikan penganjur Lavida Coin iaitu DSV Crypto Club, LUX Galaxies dan VI Profit Galaxy ke dalam Senarai Berwaspada Kepada Pelabur. Walaupun terkejut, penulis pasti pelabur tegar terutama yang mengimpikan kekayaan berasa agak dukacita dengan khabar ini apatah lagi di sebaliknya ada nama yang sangat dikenali ramai di Malaysia ini.
Sebelum notis tersebut berkuatkuasa, Bank Negara Malaysia (BNM) sebenarnya telah menyenarai hitam syarikat tersebut ke dalam 423 syarikat di bawah Amaran Penggunaan Kewangan. Senarai ini merupakan senarai syarikat dan laman web yang tidak dibenarkan atau diluluskan di bawah undang-undang dan peraturan yang ditadbir oleh BNM. Walau bagaimanapun, senarai berkenaan tidaklah menyeluruh dan hanya berfungsi sebagai panduan sahaja kepada orang awam berdasarkan maklumat dan pertanyaan yang diterima oleh BNM. Oleh sebab inilah ramai pelabur yang tetap berani meleburkan wang mereka ke dalam skim pelaburan yang tidak dibenarkan.
Apakah kewajaran di sebalik langkah tegas yang diambil oleh pihak SC dan BNM itu? Tidak bolehkah mereka membiarkan sahaja mana-mana syarikat yang ingin membantu orang ramai mengecap kekayaan yang bakal diperoleh dengan melabur dalam syarikat berkenaan? Pasti ada sebab yang kukuh di sebalik langkah drastik tersebut. Nampaknya pihak SC dan BNM benar-benar ingin membanteras operasi skim pelaburan yang menyalahi undang-undang ini.
Apabila diteliti, langkah yang dibuat oleh SC dan BNM adalah yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Apa tidaknya, berdasarkan rekod, lebih RM3.8 bilion kerugian telah dicatatkan daripada mangsa yang terpedaya dengan skim pelaburan haram hanya untuk sepanjang 2017. Satu angka yang amat tinggi yang jika dihitung dan dihimpunkan boleh digunakan untuk pelbagai program pembangunan negara. Saya yakin perkara ini terjadi dek kerana sikap tamak dan mahu cepat kaya segelintir rakyat negara ini yang akhirnya merugikan diri mereka sendiri. Bilangan pelabur yang mengalami kerugian dianggarkan seramai 974,301 orang di seluruh negara yang melibatkan 30 pelaburan haram termasuk urus niaga mata wang asing (forex), pelaburan kopi, food truck serta pelaburan emas.
Paling mendukacitakan, merujuk kepada rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, hanya 1,369 daripada 974,301 individu yang tampil untuk membuat laporan selepas terpedaya dan ini hanya melibatkan nilai kerugian sebanyak RM239 juta. Sedangkan ramai lagi mangsa lain enggan tampil membuat laporan polis sama ada atas sebab malas atau malu.
Lebih mengejutkan lagi, rekod juga menunjukkan seramai 1.7 juta rakyat tempatan dan asing telah menjadi mangsa jenayah penipuan pelaburan, khususnya secara dalam talian yang membabitkan kerugian hampir RM5 bilion sejak dari tahun 2013 lagi.
Jumlah ini hanyalah rekod dari tahun 2013 sehingga 11 Oktober 2017. Rekod juga menunjukkan sebanyak 2,590 aduan penipuan pelaburan adalah penipuan pembelian atas talian, Love Scam, Macau Scam dan lain-lain yang melibatkan 28 syarikat yang berbeza.
Apakah modus operandi syarikat sebegini? Bagaimanakah cara untuk orang ramai mengenalpasti syarikat yang menawarkan pelaburan haram? Sebenarnya kebanyakan skim pelaburan ini mudah dikesan kerana kebiasaannya menawarkan bulan, bintang dan matahari sebagai pulangan terhadap pelaburan. Mudah sahaja untuk kita kenali skim cepat kaya atau skim lebur wang ini. Skim cepat kaya adalah satu skim yang mana sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur skim cepat kaya dengan janji dan syarat bahawa wang deposit tersebut akan dipulangkan kembali dengan keuntungan berlipat kali ganda. Keuntungan ini selalunya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan berlesen. Mendengar jumlah pulangan sahaja sudah cukup untuk kita berasa sangsi terhadap pelaburan ini. Atau adakah anda berasa teruja dan ingin turut sama melabur wang anda?
Pada permulaan skim tersebut, penganjur akan menggunakan wang deposit yang diterima daripada pendeposit baharu untuk membayar pulangan atau wang pokok pendeposit yang sebelumnya. Mana mungkin para penganjur skim cepat kaya melaburkan deposit yang diterima ke dalam pelaburan atau perusahaan yang mendatangkan keuntungan yang lebih tinggi. Ini kerana semua jenis pelaburan yang ada di dunia ini mempunyai risiko di mana lagi tinggi pulangan yang bakal diperoleh, maka tinggi jualah risiko yang bakal dihadapi oleh pelabur. Mana mungkin pelaburan yang berisiko rendah dapat memberikan pulangan yang tinggi.
Selain itu, pelaburan ini juga sentiasa mempamerkan ahli syarikat yang berjaya menjadi jutawan sekelip mata. Terkadang memperkenalkan jutawan dari kalangan ustaz atau ahli agama yang sudah tentu lebih meyakinkan. Malah mereka juga berbangga dengan produk syarikat yang mempunyai sijil halal Jakim. Pelaburan boleh dilakukan tanpa perlu menjual sebarang produk. Ditambah pula, pelaburan boleh dilakukan dengan meletakkan duit kemudian tidak perlu melakukan apa-apa. Mempamerkan wang sebukit, kereta mewah dan berswafoto di depan banglo mewah dengan menayang cek ratusan atau jutaan ringgit. Jika inilah ciri-ciri yang ada, maka tolonglah jauhkan diri atau setidaknya tolonglah selidik dengan lebih teliti.
Sebenarnya, di Malaysia hanya institusi kewangan iaitu bank, syarikat insurans, pengendali takaful, penggurup wang, penyedia perkhidmatan pengiriman wang dan pemborong mata wang (kini perniagaan perkhidmatan wang) sahaja yang diberikan lesen mengambil deposit oleh BNM. Ini bermakna bukan semua syarikat boleh mengambil deposit daripada orang ramai hatta menganjurkan permainan kutu pun sebenarnya sesuatu yang tidak dibenarkan mengikut undang-undang di negara ini.
Ingatlah di Malaysia, sesiapa yang menjalankan Skim Cepat Kaya boleh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989. Mereka yang disabitkan dengan kesalahan di bawah akta tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali. Pilihlah jalan yang lurus lagi benar. Pilihlah untuk memakmurkan negara bukan memporak-perandakan negara.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Johor.










