KANSAS CITY: Pemain tengah England, Jordan Henderson disahkan tidak dapat meneruskan saingan Piala Dunia 2026 selepas menjalani pembedahan akibat patah lengan susulan kemalangan ketika meraikan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Mexico pada pusingan 16 terbaik.
Pemain Brentford berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan selepas terjatuh ke atas penghadang papan iklan sejurus tamat perlawanan di Stadium Azteca, Ahad lalu, sekali gus memaksanya dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum dikejarkan ke hospital.
Bekas kapten Liverpool yang memiliki 91 penampilan bersama skuad The Three Lions itu hanya sempat beraksi beberapa minit sepanjang kempen Piala Dunia kali ini, namun tetap dianggap sebagai tonggak penting di luar padang.
Meskipun tidak lagi dapat beraksi, Henderson akan terus bersama skuad kendalian England di kem latihan mereka di Kansas City bagi memberikan sokongan kepada rakan sepasukan sehingga tamat kejohanan.
Menerusi hantaran di Instagram, Henderson memaklumkan pembedahan yang dijalaninya berjalan lancar dan berharap England mampu meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Dunia.
“Pembedahan selesai. Kini kami bersedia menghadapi perlawanan besar pada Sabtu.*
“Terima kasih kepada semua kakitangan di Kansas City Orthopaedic Institute, khususnya tiga pakar bedah yang menjalankan pembedahan,” katanya.
Sementara itu, penyerang England, Morgan Rogers menyifatkan Henderson sebagai nadi kepada pasukan biarpun tidak banyak diturunkan sepanjang kejohanan.
“Dia segala-galanya buat pasukan ini dan merupakan denyut nadi kami. Melihat dia masih mampu tersenyum walaupun berdepan situasi sukar benar-benar memberikan semangat kepada kami.
“Kami berharap dia dapat kembali pulih dan berada semula di atas padang secepat mungkin,” katanya.
England dijadualkan menentang Norway yang diterajui Erling Haaland pada aksi suku akhir Piala Dunia di Miami, Sabtu ini. – AFP










