Ahmad Zahid beri jaminan, kerajaan BN Johor akan selari Persekutuan - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid beri jaminan, kerajaan BN Johor akan selari Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan selari dengan kerajaan Persekutuan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, BN Johor adalah sebahagian daripada gabungan tersebut yang membentuk kerajaan Perpaduan hari ini.

“Ingat, BN juga sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kerajaan Johor juga adalah kerajaan BN dan BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Jangan khuatir. Kerajaan BN Johor yang dipimpin Datuk Onn Hafiz sebagai Pengerusi BN negeri dan saya sebagai Pengerusi BN Malaysia akan pastikan kerajaan negeri Johor tetap selari dengan kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada program bersama masyarakat di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Iskandar Puteri, di sini malam ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, tiada isu bagi calon-calon BN dan mereka tidak akan menentang kerajaan Perpaduan serta akan terus menghormati keputusan di peringkat UMNO Pusat dan BN Pusat.

“Ada pula yang kata BN Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz ini pengkhianat, tak adalah. Kerajaan negeri dibentuk lebih awal berbanding Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, semua calon BN pada PRN Johor kali ini dipilih atas kemampuan mereka untuk menang di kawasan masing-masing dan mempunyai rekod bekerja yang baik.

“Saya mahu lihat kestabilan politik di Johor dapat dipertahankan dan atas sebab itu UMNO bertanding 37 kerusi DUN manakala MCA 15 kerusi dan MIC empat kerusi,” katanya.

Beliau berkata, tempoh 48 jam untuk berkempen menjelang PRN Johor adalah sangat kritikal dan meminta jentera untuk kerja keras memenangkan calon BN.

Jelasnya, pengundi perlu menilai ‘track record’ Onn Hafiz dalam tempoh empat tahun tiga bulan dan 19 hari lalu sebagai yang berjaya memajukan negeri ini dengan ekonominya yang membangun.

“Apa yang tak dilakukan Datuk Onn Hafiz, 80,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan untuk anak muda seluruh Johor, untuk penggal akan datang beliau janji mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu untuk anak muda negeri Johor.

“Dalam tempoh yang sama, 20,000 rumah kos rendah juga diwujudkan sepanjang menjadi Menteri Besar dan berazam wujudkan lagi banyak rumah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN