KOTA BHARU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Kuala Krai bagi penggal 2013 hingga 2018 daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ramzi Ab. Rahman meninggal dunia awal pagi tadi.
Allahyarham yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.40 pagi.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Ar-Rahman, Kubang Batang, Tumpat pada pukul 11 pagi.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob menyifatkan Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air, khususnya dalam memperjuangkan nasib masyarakat luar bandar.
Katanya, segala khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan yang ditaburkan oleh Allahyarham akan terus dikenang.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan yang telah dilakukan serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Allahyarham memenangi kerusi itu selepas menewaskan calon Pas, Ku Zaki Ku Hussain di kerusi DUN Dabong dengan majoriti 229 undi.
Ramzi memperoleh 4,612 undi manakala Ku Zaki 4,383 undi.-UTUSAN









