AMPANG JAYA 16 Okt. – Hasrat seorang aktivis kucing untuk menempatkan kucing-kucing terbiar di Jalan Kerja Ayer Lama di sini musnah apabila premis peliharaan yang dijanjikan oleh pihak berkuasa tempatan bagi tujuan itu didakwa ‘dirampas’ untuk kegunaan politik.
Jamil Ismail, 42, atau lebih dikenali sebagai Jamil Kucing berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menggunakan bangunan yang telah dinamakan sebagai Taman Rekreasi Kucing Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu kerana akan dijadikan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku di peringkat atasan tetapi sejak dari awal lagi bangunan ini memang dibina khas untuk menempatkan kucing-kucing terbiar dengan persetujuan dan kebenaran pihak berkuasa.
“Jika ada bantahan penduduk atau sebagainya, ia tidak mungkin berlaku selepas bangunan itu siap dibina. Saya nampak ini adalah ‘rampasan’ oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Ekoran itu, pengasas Jamil Kucing Cat Rescue Animal Care itu bimbang mengenang nasib 120 ekor kucing terbiar peliharaannya yang masih tidak mempunyai penginapan yang sesuai.
“Taman rekreasi itu sepatutnya beroperasi sebagai tempat perlindungan kucing terbiar di kawasan ini tapi usaha itu nampaknya tidak akan berjaya,’’ katanya.
Jamil berkata, taman rekreasi berkenaan siap dibina pada penghujung Disember lalu hasil sokongan dan bantuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Allahyarham Shuhaimi Shafie.
“Pembinaan taman ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan anggaran kos sebanyak RM200,000.
“Perancangan untuk membina taman ini bermula sejak tiga tahun lalu dan telah dipersetujui oleh MPAJ.
Menurut Jamil, pihak MPAJ pada mulanya telah mencadangkan dua lokasi pembinaan taman rekreasi kucing iaitu di Taman Keramat dan Jalan Kerja Ayer Lama tetapi tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan kawasan perumahan.
Sehubungan itu, beliau berharap ada pihak yang dapat menyelesaikan kemelut itu dengan cara yang lebih bertanggungjawab.
Sementara itu, beliau turut membawa perkara tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan berharap masalah itu dapat diselesaikan segera.










