Harga barangan dikemas kini setiap hari - Utusan Malaysia

Harga barangan dikemas kini setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS isterinya melahirkan anak kedua empat bulan lalu, N. Janarayson, 39, mengambil alih tugas membeli barangan keperluan rumah, terutamanya susu dan lampin pakai buang.

Sepanjang membeli-belah barangan keperluan tersebut, dia menyedari terdapat perbezaan harga yang ketara bagi produk sama di kedai berlainan.

Perkara itu meresahkannya kerana sebagai pengguna pastinya dia mahukan harga yang berpatutan.

Sehinggalah suatu hari dia dimaklumkan oleh seorang rakan mengenai aplikasi Hargapedia.

Aplikasi tersebut membantu pengguna membuat perbandingan dan merancang perbelanjaan sebelum membeli-belah.

“Saya berasa sangat lega kerana aplikasi ini membantu membuat pilihan tanpa perlu pergi dari satu lokasi ke lokasi lain semata-mata untuk membuat perbandingan harga.

“Hargapedia juga mesra pengguna dan sangat mudah mencari item yang dikehendaki berserta lokasi berdekatan dengan tempat kediaman,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Tambah Janarayson, dia juga begitu teruja kerana setiap kali ada promosi, aplikasi itu akan memaklumkan menerusi penghantaran notifikasi di telefon bimbit.

Justeru, pengguna tidak terlepas untuk mendapatkan barangan dengan harga promosi yang jauh lebih murah sehingga potongan 50 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Intrack Market Services, Soon Chee Kwang berkata, aplikasi Hargapedia yang merupakan produk di bawah syarikat itu telah dilancarkan pada bulan Januari tahun ini.

“Kami bermatlamat untuk membantu orang ramai membuat perbandingan harga dan pada masa sama dapat menjimatkan perbelanjaan.

“Hargapedia membandingkan harga bagi 40 peruncit utama di Malaysia seperti Mydin, Tesco, Giant, Guardian, Aeon dan Econsave dengan lebih 7,000 item,” jelasnya yang juga merupakan pengasas syarikat tersebut.

Terangnya, Hargapedia hanya membandingkan harga barangan runcit seperti makanan dan penjagaan diri kerana ia merupakan keperluan setiap hari.

Kajian yang dijalankan oleh Intrack Market Services mendapati, orang ramai akan membelanjakan 20 hingga 30 peratus daripada gaji mereka pada setiap bulan untuk membeli barangan runcit itu.

Bercerita lanjut mengenai idea membangunkan aplikasi Hargapedia, Chee Kwang memberitahu, syarikatnya yang beroperasi sejak 12 tahun lalu berperanan untuk mengutip data harga barangan di Malaysia.

Dari situ, tercetus idea untuk menyediakan platform bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan harga dan membeli-belah dengan bijaksana, sekali gus menjimatkan perbelanjaan.

Naik taraf

“Membeli-belah sudah menjadi aktiviti wajib pada setiap hujung minggu dan diharapkan dengan kehadiran Hargapedia dapat melancarkan urusan tersebut.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Android dan iOS,” tutur anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna, syarikat tersebut bakal menaik taraf kepada versi kedua yang dikenali sebagai Hargapedia 2.0 dalam masa terdekat.

Ujarnya, penambahbaikan itu dilakukan seiring maklum balas yang diberikan oleh pengguna seperti menambah senarai pasar raya dan bilangan barangan.

Sehingga kini, Hargapedia telah dimuat turun oleh 230,000 pengguna yang rata-rata mengakui aplikasi tersebut banyak menjimatkan perbelanjaan mereka.

Chee Kwang berkata, Hargapedia sangat istimewa kerana bukan sahaja membuat perbandingan harga tetapi aplikasi tersebut membantu peniaga mempromosi dan mengiklankan barangan mereka.

“Aplikasi ini akan dikemas kini setiap hari oleh empat orang petugas secara bergilir-gilir bagi memastikan maklumat barangan dan harga terkini diterima di telefon pintar pengguna.

“Kami juga membuat perbandingan harga untuk kedai online seperti Lazada, Mydin Online, Tesco Online, Honestbee,” ulas anak kedua daripada empat beradik itu.

Menjadi aplikasi kegemaran ramai bukanlah sesuatu yang mudah, Chee Kwang berkata, pihaknya menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya apabila ada segelintir pasar raya yang mengubah harga tanpa memaklumkan kepada petugas Hargapedia.

Tindakan tersebut akan merosakkan reputasi Hargapedia dan mendapat maklum balas negatif daripada pengguna.

Selain itu, terdapat juga segelintir peruncit yang enggan memberikan maklumat harga kerana takut pada persaingan.

Sehubungan itu, Chee Kwang mengambil inisiatif menghantar petugas ke beberapa pasar raya untuk membuat semakan harga tetapi ia bukanlah tugas mudah kerana memerlukan masa yang lama serta tenaga kerja lebih ramai untuk menjalankan kerja tersebut.

Mesra pengguna

Besar harapannya agar aplikasi tersebut dapat menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Indonesia serta seluruh Asia Tenggara pada masa akan datang.

Dia juga merancang untuk menambah bilangan item sehingga 10,000 untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Teknologi syarikat tersebut, Ow Choong Seong berkata, bagi versi pertama pihaknya mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan, manakala Hargapedia 2.0 mengambil masa kira-kira enam bulan.

“Bagi versi pertama, kami tidak meletakkan banyak kandungan dan ia lebih kepada mencari barangan sahaja.

“Berbanding versi 2.0, mempunyai reka bentuk yang lebih ringkas, pintar dan mesra pengguna,” jelas anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Tutur Choong Seong, Hargapedia 2.0 lebih sistematik kerana ia menyediakan pilihan lokasi berdekatan dengan tempat kediaman pengguna atau tempat kegemaran mereka.

Pencarian barangan lebih mudah kerana ia dibahagikan kepada beberapa kategori seperti kelengkapan bayi, minuman, makanan, kesihatan dan kecantikan malah terdapat juga katalog.

Justeru, aplikasi tersebut dapat menjimatkan masa dan minyak kenderaan kerana membeli-belah telah dirancang terlebih dahulu.

Ujar Choong Seong, pihaknya sangat mementingkan kemudahan dalam pencarian kerana ia merupakan aspek utama untuk mendapatkan barangan yang ingin dibeli.

Hargapedia menawarkan pencarian di dalam bahasa Inggeris dan Melayu bagi memudahkan proses pencarian itu.

Hargapedia menyediakan platform mencari dan membandingkan 
lebih 7,000 barang keperluan harian bagi 40 peruncit di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN