Harap semangat ‘ultra Melayu’ Dr. Mahathir masih ada - Utusan Malaysia

Harap semangat ‘ultra Melayu’ Dr. Mahathir masih ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Okt. – Pas berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sewenang-wenangnya meratifikasi mana-mana konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara, terutama perkara berkaitan Islam dan Melayu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, dalam soal itu, peranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad amat diperlukan sebagai benteng terakhir bagi meneruskan kelangsungan kedudukan istimewa agama Islam dan kaum bumiputera di negara ini.

“Kita minta kerajaan PH, terutamanya Dr. Mahathir main peranannya. Harapan orang Melayu tinggi terhadap beliau selama ini, malah beliau pernah digelar ‘ultra Melayu’ sebelum ini.

“Diharap semangat (ultra Melayu) itu masih ada supaya beliau boleh pertahankan kedudukan Islam dan orang Melayu selagi masih memimpin negara ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dalam sidang Parlimen semalam, seorang wakil rakyat dilaporkan mendesak Kementerian Luar meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Diskriminasi Kaum serta Perjanjian Sivil dan Hak Politik (ICCPR).

ICCPR merupakan satu daripada enam konvensyen PBB mengenai hak asasi yang belum diratifikasi dan Malaysia dijangka berbuat demikian pada Semakan Berkala Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia PBB Sesi Ke-31 yang dijadual berlangsung pada 8 November di Geneva, Switzerland.

Terdapat peruntukan dalam ICCPR menimbulkan persoalan terhadap masa depan berkaitan agama Islam yang terdapat dalam Perlembagaan seperti Perkara 3, institusi mahkamah dan perundangan Syariah.

Antaranya ialah Perkara 18.1 yang menyatakan seperti berikut: “Setiap individu mempunyai hak untuk berfikir, bersuara dan beragama secara bebas.

“Hak ini termasuklah kebebasan untuk menganut agama atau kepercayaan mengikut pilihan sendiri, dan kebebasan menonjolkan kepercayaan itu menerusi upacara ibadat, amalan dan pembelajaran sama ada di tempat tertutup atau terbuka secara individu atau berkumpulan.”

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, Pas sebelum ini sudah beberapa kali menyatakan kebimbangan Malaysia bakal berubah menjadi ‘negara sekular sejati’ jika golongan berfikiran liberal menguasai kerajaan.

“Golongan ini tidak perlu jadi pemerintah pun, cukup jika suara dia terbanyak dalam kerajaan maka sudah boleh mempengaruhi hala tuju negara. Kalau tidak dibendung tidak mustahil kita akan jadi 100 peratus negara ‘pure’ sekular,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN