Hafizh tempah petak ke-16 di Motegi, Jepun - Utusan Malaysia

Hafizh tempah petak ke-16 di Motegi, Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Hafizh Syahrin Abdullah bakal memulakan aksinya di petak ke-16, namun, peningkatan prestasi jentera Yamaha yang dipacunya lebih menarik perhatian pelumba pertama MotoGP negara itu untuk mengintai mata dalam saingan sebenar Grand Prix Motosikal Jepun di Litar Twin Ring Motegi, esok.

Lakaran masa sepusingan satu minit 45.765 saat (s) yang dicipta pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu, hari ini, memberikan satu indikasi kepada Hafizh dia kini tidak jauh ketinggalan di belakang pelumba yang berada dalam kelompok 10 terbaik.

Hafizh berkata, dia dan pasukan telah melaksanakan tugas dengan baik pada sesi latihan bebas keempat dan juga kelayakan pertama, setelah masa dicatatnya begitu hampir dengan kumpulan pelumba elit.

“Kami terlepas aksi kelayakan kedua dengan hanya dipisahkan 0.1 saat, tetapi apa yang penting, kami berjaya mendapatkan kembali rentak dan keserasian de­ngan pasukan semakin baik. Saya cuma sedikit gementar sepanjang sesi kelayakan.

“Saya berjaya memacu jentera lebih laju dan percaya, esok hari yang baik untuk kami. Kami perlu membuat keputusan bijak dalam pemilihan tayar. Daripada pelumba yang berada di kedudukan ketujuh sehingga ke-15, catatan masa mereka semasa kelayakan begitu hampir dengan saya,” kata Hafizh yang dipetik kenyataannya menerusi laman web pasukan, hari ini.

Justeru, jelas pelumba berusia 24 tahun itu, mengekalkan kedudukan dalam kumpulan hadapan, dia yakin mata pasti berada dalam genggamannya.

“Terima kasih kepada pasukan kerana mereka berjaya menemui pakej yang baik untuk saya,” ujarnya.

Sementara itu, dalam saingan kelas Moto2 dan Moto3, dua lagi pelumba Malaysia iaitu Khairul Idham Pawi serta Adam Norrodin sekadar melengkapkan aksi di petak ke-23. Khairul Idham yang mewakili Idemitsu Honda Team Asia mencatat masa sepusingan 1:52.258s, manakala pelumba Petronas Sprinta Racing, Adam melakar 1:58.107s.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN