RIJEKA, Croatia 13 Okt. – Pertemuan Croatia dan England dalam Liga Negara negara Eropah berakhir dengan keputusan seri 0-0, sama kosongnya stadium apabila penonton tidak dibenar menyaksikannya oleh Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Tindakan pengharaman kehadiran penonton itu menyebabkan pertemuan yang dianggap aksi ulangan separuh akhir Piala Dunia 2018 lalu begitu hambar dan disifatkan jurulatih Croatia, Zlatko Dalic sebagai hari sedih buat sukan bola sepak di negaranya.
Croatia digantung bermain tanpa penonton sejak tiga tahun lalu gara-gara penyokongnya mempamerkan satu simbol keagamaan atau ideologi (swastika) ketika perlawanan menentang Itali pada pusingan kelayakan Euro 2016 lalu.
“Bola sepak dimainkan untuk disokong. Agak sedih pasukan dalam kelompok empat terbaik dunia ketika ini bermain secara tertutup. Saya tidak tahu kebaikannya pada siapa,” kata Dalic merujuk Croatia yang muncul naib juara Piala Dunia manakala England menduduki tempat keempat.
Dalam aksi sunyi sepi itu, Marcus Rashford terlepas dua peluang terbaik untuk membolehkan England membalas dendam kekalahan di Rusia pada Julai lalu. Begitu juga dengan percubaan Eric Dier dan Harry Kane yang terkena tiang.
“Kalau dilihat, perlawanan itu seperti kami sepatutnya menang. Kami lebih banyak mengawal rentak permainan. Babak kedua lebih baik di mana kami mengasak dan terus mengasak sehingga tamat perlawanan tetapi gagal dimanfaatkan semua peluang,” kata jurulatih England, Gareth Southgate. – AFP











