SKUAD England mempamerkan aksi terbaik ketika mengejutkan Sepanyol menerusi kemenangan 3-2 pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di gelanggang lawan, Seville awal pagi semalam.
Skuad The Three Lions bimbingan Gareth Southgate yang tersingkir pada aksi separuh akhir Piala Dunia Rusia 2018 Julai lalu mempamerkan taring apabila meledak tiga gol pada babak pertama menerusi dua jaringan Raheem Sterling dan satu gol lagi Marcus Rashford.
Sepanyol cuba bangkit pada babak kedua, namun jaringan Paco Alcacer dan Sergio Ramos tidak cukup buat La Roja untuk menutup aib di laman sendiri.
“Saya sangat bangga dengan aksi yang dipamerkan oleh barisan pemain khususnya pada babak pertama. Corak permainan mereka cukup berbisa sehingga memberi kesukaran buat barisan pertahanan Sepanyol,” ujar Southgate.
Dalam perlawanan pertama 9 September lalu, Sepanyol yang dibimbing Luis Enrique menang 2-1 ke atas England pada aksi yang berlangsung di Stadium Wembley.










