SETIU – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya menghasilkan produk antigout daripada pati daun pokok cucur atap yang banyak terdapat di pesisir pantai di Pantai Timur. Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, produk Goutree dalam bentuk kapsul dan cecair penyembur itu merupakan hasil penyelidikan pihaknya sejak lapan tahun lalu.
Beliau berkata, minyak daripada pati daun pokok cucur atap telah digunakan secara tradisional oleh masyarakat Melayu bagi meredakan senggugut, kembung perut, sembelit, sakit belakang dan didakwa mengurangkan kadar gula dalam darah.
“Kajian saintifik yang dilakukan FRIM mendapati pati daun pokok berkenaan mengandungi enzim yang mampu menghalang pengumpulan asid urik pada sendi tulang yang menjadi punca kepada penyakit gout.
“Pengkomersialan produk Goutree berasaskan pati daun cucur atap ini meliputi kapsul untuk makanan tambahan dan cecair penyembur sebagai agen meredakan kesakitan radang sendi akibat gout,” katanya pada majlis prapelancaran produk Goutree di Stesen Penyelidikan FRIM Setiu, Bari Besar dekat sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











