Bekas pelajar bertemu semula selepas 50 tahun - Utusan Malaysia

Bekas pelajar bertemu semula selepas 50 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR 15 Okt. – Tidak dapat diungkap dengan kata-kata dalam mengambarkan keter­ujaan lebih 48 bekas pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Tengku Suleiman (SMTS), Beseri, di sini apabila bertemu semula selepas lebih 50 tahun.

Mereka bertemu selepas puluhan tahun meninggalkan alam persekolahan itu dalam program pertemuan semula sebuah kelas SMTS 68 di Terinai Lake View Cafe, Empangan Timah Tasoh di sini, baru-baru ini.

Ternyata pertemuan itu me­ninggalkan kenangan manis bagi mereka untuk mengimbas kenang­an lalu seterusnya mengukuhkan jalinan persahabatan meskipun terpisah sejak sekian lama.

Lebih manis, majlis berkenaan turut diserikan dengan keha­diran guru mereka yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Pengerusi Alumni SMTS 68, Datuk Abu Serey Maidin berkata, ilham untuk mengadakan program ini selepas melihat Maktab Tentera Diraja dan sekolah-sekolah lain sentiasa mengadakan majlis pertemuan semula pada setiap tahun.

Katanya, majlis itu secara tidak langsung dapat mengubat kerinduan terhadap kawan-kawan lama yang sekian lama terpisah.

“Persahabatan di antara kami yang terjalin puluhan tahun lalu diharap akan terus berkekalan sehingga akhir hayat. Kita harap majlis seperti ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Katanya lagi, bagi merealisasikan majlis tersebut, sebuah jawatankuasa terdiri daripada rakan-rakan yang tinggal di Perlis telah dibentuk seterusnya berusaha mengumpul alumni ini.

Sementara itu, seorang bekas pelajar yang hadir pada majlis itu, Azni Zainal Abidin, 63, berkata, dia yang menetap di Kelantan tidak melepaskan peluang untuk hadir pada program tersebut bagi bertemu rakan-rakan lamanya.

Katanya, dia juga tidak dapat menahan sebak apabila bertemu kebanyakkan rakan-rakan yang sudah lebih 50 tahun terputus hubungan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN