PETALING JAYA: Dua stor di Bandar Pinggiran Subang dan Jalan Bakti, dekat sini, yang menjalankan kegiatan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam.
Pemeriksaan yang dilakukan menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) mendapati kedua-dua premis dijadikan lokasi penyimpanan minyak masak peket bersubsidi yang dipercayai disimpan untuk dipotong daripada bungkusan asal sebelum dijual kepada pemborong minyak masak terpakai.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, modus operandi itu dipercayai bertujuan memperoleh keuntungan dengan menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.
“Siasatan awal turut mendapati pengendali premis gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual.
“Pasukan serbuan menyita kira-kira 6,426 kilogram minyak masak peket bersubsidi, 13 unit tangki IBC, empat tangki simpanan, enam tong dram, tiga pam elektrik dan corong, hos penyambung, sebuah lori rigid, peralatan memotong bungkusan minyak masak, kotak pembungkusan serta beberapa unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM129,874.50.
Katanya, enam individu berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan membabitkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.
“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu atau syarikat lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan ini,” jelasnya.
Azman berkata, sejak Op Tiris 4.0 (Bersepadu) dilancarkan pada 16 Mac lalu, KPDN merekodkan 137 kes penyelewengan minyak masak dengan rampasan sebanyak 165,568 kilogram bernilai RM615,936.02.
Menurutnya, Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 36 kes dengan nilai rampasan RM72,265.46, manakala KPDN Putrajaya mencatat kuantiti rampasan terbesar sebanyak 55,445 kilogram menerusi empat kes.-UTUSAN










