Tiga lelaki tular samun bersenjata dihadapkan ke mahkamah - Utusan Malaysia

Tiga lelaki tular samun bersenjata dihadapkan ke mahkamah

TIGA lelaki yang tular dalam kejadian samun bersenjata di Taman Klebang Ria, Chemor didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga lelaki yang tular selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Taman Klebang Ria, Chemor pada 31 Mei lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, S. Barani Tharan, 33; Yuvaneswara, 30; dan M. Suntaresswaran, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang ke atas harta milik Phon Tuck Kei, 34, iaitu wang tunai RM850, sebuah tab jenama Redmi dan sebuah telefon bimbit jenama Vivo.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di sebuah kedai di Jalan Klebang Ria 2, Taman Klebang Ria pada pukul 5.55 pagi, 31 Mei 2026.

Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung budi bicara mahkamah dan sekiranya dibenarkan, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.

“Mahkamah juga dimohon untuk mengenakan syarat tambahan iaitu setiap tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, diikat jamin oleh seorang warganegara Malaysia dan tidak mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” katanya.

Sementara itu, peguam bela, K. Nahtan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai buruh kasar mempunyai tanggungan isteri dan ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan dua lelaki bersenjatakan parang yang memasuki sebuah kedai dan melarikan beberapa barang termasuk milik mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN