BAITULMUQADDIS: Presiden Israel, Isaac Herzog menggesa agar kemajuan dicapai dalam usaha menormalisasi hubungan antara Tel Aviv dengan Arab Saudi dalam satu wawancara yang jarang diberikan kepada saluran televisyen berpangkalan di Riyadh, Al Arabiya, yang disiarkan pada Khamis.
“Impian saya adalah untuk melihat keamanan antara Israel dan Arab Saudi. Saya amat menghormati Putera Mahkota Mohammed bin Salman,” kata Herzog kepada penyiar milik kerajaan itu, merujuk kepada pemimpin de facto Arab Saudi.
“Apa yang paling kami inginkan di Israel ialah melihat hubungan yang semakin erat antara negara-negara,” tambah beliau dalam wawancara yang berlangsung di Baitulmuqaddis.
Pada 2023, Arab Saudi sedang mengadakan rundingan awal mengenai usaha menormalisasi hubungan dengan Israel. Namun, ia menarik diri secara mengejut selepas tercetusnya perang di Gaza.
Sentimen negara-negara Arab terhadap Israel semakin keras susulan perang itu, yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada Oktober 2023.
Lebih 70,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas. Angka korban yang dikeluarkan kementerian itu dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pegawai Arab Saudi berulang kali menegaskan bahawa negara itu tidak akan mengiktiraf Israel selagi tiada laluan yang jelas ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, sesuatu yang ditentang oleh kerajaan Israel ketika ini. – AFP










