PETALING JAYA : Sistem penyimpanan dan rekod keluar masuk senjata yang dikendalikan Bahagian Keselamatan dan Seksyen Persenjataan perlu diperketatkan tanpa sebarang kelonggaran terhadap prosedur yang telah ditetapkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, Jawatankuasa Keselamatan Perlindungan (JKP) Negeri kini diwajibkan melaksanakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan mengemukakan laporan penilaian kendiri secara berkala kepada Ibu Pejabat.
“Aspek keselamatan perlu diperkasakan secara berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan organisasi sentiasa berada pada tahap optimum.
“SPRM mengamalkan komitmen sifar kompromi terhadap tadbir urus keselamatan, pengurusan persenjataan serta kesiapsiagaan dalam mendepani ancaman siber yang semakin berkembang, termasuk yang berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).
“Selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2024, Jawatankuasa Keselamatan Perlindungan (JKP) Negeri kini diwajibkan melaksanakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan mengemukakan laporan penilaian kendiri secara berkala kepada Ibu Pejabat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JKP Bilangan 2 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Dalam mesyuarat itu, beliau mengingatkan Pegawai Keselamatan Jabatan (PKJ) dan Penolong Pegawai Keselamatan Jabatan (PPKJ) supaya mematuhi sepenuhnya Perkara 32 Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).
Katanya, pematuhan itu merangkumi perlindungan dokumen terperingkat, pemeriksaan fizikal premis secara berkala serta penganjuran taklimat kesedaran bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).
Beliau turut menggesa warga SPRM membudayakan gaya hidup sihat bagi memastikan kesiapsiagaan fizikal dan mental pegawai sentiasa berada pada tahap optimum, khususnya ketika menjalankan tugas penguatkuasaan di lapangan dan menghadiri prosiding mahkamah.
Dalam menghadapi evolusi jenayah digital yang semakin kompleks, beliau mengarahkan Bahagian Keselamatan SPRM bersama Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM mempertingkatkan keupayaan forensik digital yang memberi fokus kepada pengesanan ancaman manipulasi deepfake, klon suara serta penipuan dokumen yang digunakan penjenayah.
“Warga SPRM juga digesa mengeksploitasi teknologi AI secara beretika bagi memperkukuh analisis data dan mempercepatkan pengesanan transaksi kewangan yang mencurigakan,” katanya.-UTUSAN










