Ayam 'engkong' jadi tarikan - Utusan Malaysia

Ayam ‘engkong’ jadi tarikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 10 Okt. – Juadah berasaskan ayam sering disajikan dengan pelbagai menu, antaranya masak madu, kuzi, asam pedas, berempah, masak kicap, masak merah dan rendang.

Namun, bagi masyarakat Jawa di negeri ini, ‘ayam engkong’ tetap popular, tetapi agak jarang ditemukan di kedai-kedai makan kerana kaedah memasaknya memerlukan kemahiran.

Bagi pengusaha ayam ‘engkong’, Kamal Ibrahim Wardi, 51, permintaan daripada saudara-mara dan rakan-rakan kini menjadi sumber pendapatan baharu bagi keluarganya sejak tiga tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beroperasi di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, dia yang dibantu oleh isteri, Hamilah Mohd. Amin, 51, selaku ‘chef’ kini boleh berbangga kerana masakan ayam engkong telah diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

Menurutnya, proses pembuatan bermula dengan penye­diaan ‘bumbu’ atau bahan-bahan yang menggunakan kira-kira 20 bahan termasuk rempah ratus se­perti ketumbar, jintan halus, jintan kasar, serai, halia dan santan.

“Bumbu itu memberikan rasa dan keenakan yang menjadi tarikan kepada pelanggan yang pernah membeli ayam engkong kami. Alhamdulillah, ayam engkong kami turut mendapat tempahan oleh jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan majlis perkahwinan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Kamal Ibrahim yang juga pesara tentera berkata, engkong dalam bahasa jawa bermaksud ‘muafakat’ dan sesuai dijadikan hidangan kepada pemimpin atau golongan yang lebih berumur di kampung-kampung.

Sementara itu, Hamilah memberitahu, dia memasak ayam engkong kampung dan ayam engkong tua berdasarkan permintaan pelanggan.

“Harganya juga berbeza, iaitu ayam engkong tua termasuk penghantaran di Pontian RM25 seekor, manakala ayam engkong kampung berdasarkan be­rat antara RM33 hingga RM37 termasuk penghantaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini