KUALA LUMPUR 5 Okt. – Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. mengumumkan agihan pendapatan akhir sebanyak 2.90 sen seunit bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2018.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, agihan bonus yang disumbang oleh PHB mencerminkan komitmen oleh kumpulan untuk memastikan pemegang unit terus menerima pulangan kompetitif daripada AHB.
Katanya, walaupun pasaran hartanah sepanjang 2018 kekal lemah, PHB berterima kasih kepada pemegang unit atas sokongan berterusan dan kekal sebagai pemegang unit yang setia.
Jelas beliau, PHB mengisytiharkan agihan bonus 0.20 sen seunit bagi 500,000 unit pertama AHB yang dipegang oleh pemegang unit.
“Ini bermakna secara efektifnya pemegang unit individu akan mendapat keseluruhan 3.10 sen seunit bagi agihan pendapatan dan bersama dengan agihan pendapatan interim 3.10 sen seunit dibayar pada April 2018.
“Jumlah agihan pendapatan dan bonus bagi 2018 ialah 6.20 sen seunit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi pemegang unit institusi, jumlah agihan pendapatan bagi 2018 adalah dalam jajaran 6.00 sen seunit dan 6.20 sen seunit bergantung kepada bilangan unit dipegang.
Agihan pendapatan AHB dikecualikan cukai dan dibayar bersih daripada zakat yang akan dikreditkan terus ke akaun bank pemegang unit pada 12 Oktober 2018.
Bagi Skim Pelaburan Ahli-Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ia akan dikreditkan ke Akaun 1 KWSP.
AHB ialah dana amanah disokong hartanah patuh syariah dengan harga tetap RM1.00 seunit.
Ia membolehkan pelabur bumiputera mengambil bahagian dalam pemilikan aset hartanah yang mendatangkan manfaat dengan menyediakan kepada mereka aliran pendapatan tetap dan konsisten.











