1MDB, kerajaan mohon penghakiman ingkar terhadap penjualan Equanimity - Utusan Malaysia

1MDB, kerajaan mohon penghakiman ingkar terhadap penjualan Equanimity

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerajaan dan dua lagi telah membuat permohonan bagi memasuki penghakiman ingkar (JID) terhadap pemilik  berdaftar  kapal mewah  ‘Equanimity’, bagi penjualan kapal mewah itu.

Peguam Sitpah Selvaratnam yang mengetuai pasukan perundangan bagi keempat-empat plaintif berkenaan  memberitahu pemberita bahawa permohonan itu telah didengar pagi ini dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Khajidah Idris.

“Perbicaraan akan diteruskan pada 3 petang esok,” katanya.

1MDB, dan dua anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited serta kerajaan sebagai plaintif telah memohon untuk memasuki JID terhadap pemilik berdaftar ‘Equanimity’.

JID adalah penghakiman yang mengikat yang memihak kepada mana-mana pihak berdasarkan kegagalan untuk mengambil tindakan oleh pihak lain seperti gagal menjawab saman atau gagal hadir di mahkamah.

Pada 5 Oktober, mahkamah yang sama telah membenarkan  permohonan oleh keempat-empat  plaintif itu untuk melantik seorang broker pusat dan penilai antarabangsa untuk mengendalikan penjualan ‘Equanimity’, yang dikatakan milik ahli perniagaan yang sedang diburu  Low Taek Jho atau Jho Low.

Sitpah memberitahu wartawan bahawa broker pusat kini boleh mula menyediakan dokumen yang diperlukan bagi memasang iklan dan memorandum maklumat untuk bakal pembeli mengenai spesifikasi dan keadaan kapal dan berharap Equanimity akan mendapat  pemilik baru dan mereka dapat menjual kapal mewah itu  pada awal Disember.

Pada 24 Ogos, mahkamah yang sama membenarkan  permohonan oleh keempat -empat plaintif untuk menjual Equanimity.

Dalam permohonan yang difailkan pada 23 Ogos, keempat-empat  plaintif menamakan pemilik kapal, Equanimity of Cayman Islands, sebagai defendan dalam saman yang difailkan melalui firma undang-undang Jeremy Joseph & Partners.

Dalam notis permohonan itu, empat plaintif meminta penjualan kapal, bunker, bahan api, pelincir dan bahan habis-habisan lain di atas kapal untuk dijalankan melalui tender awam atau perjanjian peribadi oleh Sheriff Mahkamah Admiralti.

Dalam notis permohonan itu, plaintif meminta penjualan kapal, bunker, bahan api, pelincir dan bahan  lain di atas kapal dijalankan melalui tender awam atau perjanjian peribadi oleh Sheriff Mahkamah Admiralti.

Plaintif mahu sheriff menerima tawaran untuk pembelian kapal dan bunker pada  harga belian yang akan dibayar kepada sheriff dalam dolar Amerika Syarikat (AS) atau euro atau ringgit.

Mereka berkata hasil penjualan kapal itu perlu dibayar kepada  mahkamah dan diletakkan di dalam akaun bank di Malaysia seperti yang diluluskan oleh Jabatan Akauntan Negara.

Kapal mewah itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos apabila pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia setelah  dirampas di Bali pada Februari atas permintaan pihak berkuasa AS sebagai sebahagian daripada penyiasatan rasuah yang dilancarkan oleh Jabatan Keadilan AS (DoJ) ke  atas 1MDB. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN