LONDON – Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba percaya bahawa prestasi skuad The Red Devils kini semakin meningkat naik selepas mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut sepanjang September ini.
Pada aksi pembukaan kempen Liga Juara-Juara, Pogba menjadi tonggak pasukan tersebut apabila berjaya meledak dua gol selepas berjaya mengatasi pasukan Young Boys dengan kemenangan 3-0.
Anthony Martial menghadiahkan gol ketiga United bagi membolehkan skuad kendalian Jose Mourinho itu meraih permulaan meyakinkan di pentas tersebut.
“Selalunya jika kamu meraih kemenangan sudah pasti keadaan mental dan emosi setiap pemain berbeza. Saya ya kin prestasi positif kami ketika ini sedikit sebanyak menaikkan moral pemain secara keseluruhan.
“Bagi saya kemenangan ini pada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara sangat penting. Kami perlu bermain dengan baik pada saingan tersebut dan hasilnya tidak mengecewakan.
“Tiga mata penting bagi pasukan ini tetapi kami sedar bahawa selepas ini akan berdepan pasukan yang lebih hebat. Jelas sekali ia tidak akan mudah tetapi kami harus melepasi halangan peringkat kumpulan,” kata Pogba.
Tugas mereka masih belum berakhir apabila United akan berdepan Wolverhampton pada saingan Liga Perdana England (EPL) malam ini. Untuk rekod, United kini menduduki tangga kelapan selepas mengumpul sembilan mata keseluruhan dalam lima perlawanan. – Agensi










