SAUDARA PENGARANG,
ARAHAN Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya semua surat rasmi kerajaan yang menggunakan slogan ‘saya yang menurut perintah’ ditukarkan kepada ‘saya yang menjalankan amanah’ mendapat tepukan gemuruh 3,500 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Putrajaya baru-baru ini.
Secara tidak langsung, ini memberikan isyarat bahawa kakitangan awam jangan menurut apa juga perintah daripada pihak atasan khususnya jika pegawai atasan telah salah gunakan kuasa atau melanggar peraturan.
Saya ingin cadangkan juga supaya di dalam apa juga majlis rasmi kerajaan, ucapan pegawai tinggi dan menteri Kabinet supaya hentikan menyebut berjela-jala nama kenamaan dan cukup sekadar satu atau dua nama sahaja. Bercakap ataupun berucap hendaklah ringkas dan tumpukan perkara-perkara penting dan utama sahaja.
Disyorkan juga pakaian baju batik pada hari Khamis setiap minggu dimansuhkan kerana tiada yang istimewanya dan jika mahukan perubahan sedikit, lebih sesuai memakai baju Melayu dan bersongkok di hari Jumaat dan kemeja lengan panjang bersongkok bagi kakitangan bukan Islam.
Saya juga cadangkan supaya tepat jam 8 pagi semua jabatan kerajaan dan orang awam bersama berdiri apabila lagu NegaraKu didendangkan melalui RTM diiringi doa ringkas.
Akhir sekali saya syorkan supaya pegawai latihan PTD yang baru dilantik hendaklah ditempatkan dari bawah dahulu dalam tempoh percubaan selama setahun supaya mereka lebih arif akan segala tugasan kerani atau tugas-tugas berkaitan.
SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan Seremban










