TNB diminta bina substesen - Utusan Malaysia

TNB diminta bina substesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 20 Sept. – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) diminta membuat pelaburan di negeri ini dengan membina substesen baharu bagi merancakkan lagi usaha menarik pelabur ke Johor terutama di Iskandar Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Per­da­gangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, bagi menjayakan usaha itu, kerajaan negeri juga sedang berbincang bagi meminta TNB untuk berbuat demikian.

Menurutnya, antara tiga perkara penting yang dilihat pelabur sebelum membuat pelaburan di negeri ini adalah sama ada tenaga elektrik dan air yang dibekalkan mencukupi selain capaian internet yang terbaik.

“Sudah tentu, TNB perlu membuat pelaburan di negeri ini, malah kita juga meminta perkara sama dan kita mahu lokasi bagi substesen itu perlu ideal sekali gus berdekatan dengan kawasan pembangunan yang sudah dikenal pasti.

“Maksud saya, janganlah pula substesen itu dibina di kawasan yang tidak sesuai. Walau bagaimanapun kita se­ring berbincang dengan TNB berhubung perkara tersebut,” katanya ketika ditanya pelan kerajaan negeri untuk sentiasa memastikan bekalan elektrik dan air mencukupi bagi menarik pelabur ke negeri ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Melindungi Keluli Zink daripada Pengakisan anjuran Galvanizers Association of Malaysia (GAM) dan International Zinc Association di sini hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN