Tiba masa wajibkan kerusi keselamatan kenderaan - Utusan Malaysia

Tiba masa wajibkan kerusi keselamatan kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES maut melibatkan bayi dan kanak-kanak akibat impak kemalangan atau tercampak keluar dari kenderaan masih lagi gagal mendidik orang ramai mengenai kepentingan penggunaan kerusi keselamatan dalam kenderaan.

Di sebalik kempen dan tips keselamatan yang dihebahkan dalam media massa, tabiat ibu-bapa meriba anak di tempat duduk hadapan ken­deraan masih menjadi kebiasaan tanpa menyedari risiko yang ditanggung si kecil.

Bayangkan risiko yang dihadapi bayi dalam posisi itu. Ja­ngan kata hentakan kemalangan, dentuman daripada beg udara (di tempat duduk hadapan) sahaja sudah cukup untuk menyebabkan kematian.

Tabiat lain termasuk mele­takkan tilam mudah alih di tempat duduk belakang ken­deraan untuk keselesaan anak-anak tidur terutama dalam perjalanan jarak jauh yang boleh membahayakan anak-anak.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) kira-kira lima tahun lalu, kes kemalangan jalan raya merupakan penyebab nombor satu kematian kanak-kanak di negara ini.

Statistiknya menunjukkan 31 daripada 53 kanak-kanak dan bayi yang terlibat dalam kemalangan berakhir dengan kematian.

Di sebalik fakta-fakta me­ngerunkan itu, pelbagai alasan diberikan oleh ibu-bapa untuk tidak memasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

Antaranya adalah harga peralatan tersebut yang mahal dan rumit dipasang, walhal kajian membuktikan penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa kanak-kanak sehingga 50 peratus.

Keupayaan mengurangkan risiko kematian itu dikira berdasarkan keberkesanan peranti berkenaan menghalang kanak-kanak tercampak dari kende­raan kerana berat badan mereka yang jauh lebih ringan berban­ding orang dewasa.

Namun, pema­sangan kerusi keselamatan itu harus dilakukan dengan betul iaitu secara menghadap ke arah belakang kenderaan bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah untuk mengurangkan risiko kece­deraan bahagian leher yang boleh membunuh.

Selain itu, penggunaan kerusi keselamatan yang mempunyai ISO FIX iaitu yang dikeluarkan Pertubuhan Pia­waian Antarabangsa juga di­sahkan dapat melindungi tulang belakang kanak-kanak yang belum cukup kuat untuk menanggung impak.

Justeru, penulis merasakan sebagai ibu-bapa kita tidak boleh terlalu berkira untuk mendapatkan sebuah kerusi keselamatan yang berkualiti demi melindungi nyawa anak-anak.

Di negara maju seperti Ero­pah, Perancis, Jerman dan Jepun, penguatkuasaan undang-undang pemakaian kerusi keselamatan untuk penumpang kanak-kanak langsung tidak dikompromi.

Justeru sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan kewajipan penggunaan kerusi berkenaan di dalam ken­deraan persendirian se­pertimana tali pinggang keledar melin­dungi orang dewasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN