KUALA TERENGGANU 28 Sept. – Terengganu FC (TFC) menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Felda United 4-3 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini sebentar tadi.
Gol kemenangan tuan rumah dijaringkan oleh Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-82 disusuli tendangan Kipre Tchetche selang tiga minit kemudian yang sekali gus menutup peluang pelawat untuk mara ke peringkat seterusnya.
Terdahulu, pasukan Felda United memulakan perlawanan dengan langkah kanan menerusi tandukan Thiago Junio pada minit ke-11.
Pelawat kembali mengumpul mata seawal babak kedua bermula hasil jaringan Ahmad Syamim Yahya dan Gilberto Fortunato pada minit ke-78.
Biarpun hanya meraih mata pertama pada minit ke-56 menerusi Lee Tuck namun skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berjaya mengikat lawan 12 minit kemudian yang disempurnakan oleh Adib Aizuddin Ab. Latif. – UTUSAN ONLINE











