SEMUA orang tahu Malaysia adalah negara berbilang kaum. Ada Melayu, Cina dan India serta lain-lain kaum dalam minoriti kecil. Dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan ketika ini pula, ramai akan bercakap mengenai semangat patriotik dan sejauh mana rakyat negara ini hidup bersatu-padu dan harmoni dalam kepelbagaian kaum itu.
Sudah pasti akan ada pihak yang akan membangkitkan soal berkenaan apabila ada isu-isu tertentu yang dikatakan menyentuh sensitiviti mana-mana kaum. Lebih-lebih lagi jika ia dicanangkan oleh orang-orang politik atau pejuang hak-hak sesuatu kaum seolah-olah rakyat negara ini hidup berpuak-puak dan tidak lagi bertoleransi antara satu sama lain.
Benarkah situasi ini berlaku? Tidak perlu pergi jauh. Lihat sahaja apa yang berlaku di sekeliling masing-masing. Sama ada ia melingkari dalam kehidupan berjiran, di tempat kerja, pusat pengajian atau di tempat-tempat awam. Dalam menjawab persoalan ini, penulis tertarik dengan satu rakaman video yang diterbitkan khas sempena Hari Kebangsaan ini yang tular di media sosial untuk menguji sekuat manakah perpaduan kita semua.
Menerusi video itu, rakaman dibuat di pusat beli-belah terkemuka di ibu kota. Sebuah skrin layar besar dipasang di situ dengan seorang perantara dalam layar berkenaan berinteraksi secara langsung dengan orang ramai yang berada di sekitarnya.
Perantara itu mengajak orang ramai untuk bermain satu permainan bagi menguji minda tentang Malaysia. Mereka diminta untuk ‘memasuki’ kotak berwarna yang dilukis di perkarangan pusat beli-belah tersebut mengikut kumpulan kaum masing-masing.
“Lihat kotak-kotak berwarna. Itu kotak-kotak pembahagian kaum di Malaysia, etnik Sabah Sarawak atau jika ada berbangsa Punjabi dan lain-lain kaum. Yang Melayu berdiri di kotak berwarna hijau, Cina (biru), India dalam kotak warna Merah. Ini bukan nak diskriminasi tau,” katanya.
Soalan pertama yang diajukan perantara itu ialah: “Siapa di sini makan nasi lemak untuk sarapan pagi tadi?”
Jika jawapan ya, mereka dikehendaki pergi ke kotak khas sebagai tanda bersama. Kelihatan ada beberapa orang yang masuk ke kotak itu. Kemudiannya, mereka perlu kembali ke kotak berwarna masing-masing untuk menjawab soalan seterusnya.
Soalan kedua diajukan pula iaitu, “Siapa di sini suka badminton, tidak kisahlah sama ada suka bermain atau sekadar suka tengok perlawanan sukan itu.” Lebih separuh mereka yang menyertai permainan ini pergi ke kotak khas itu sebagai mengiyakan soalan berkenaan.
Soalan seterusnya pula ialah “Siapa di sini pernah ada atau masih ada kawan baik selain daripada bangsa anda sendiri”. Semakin ramai yang memasuki kotak bersama itu. Dan lebih ramai atau boleh dikatakan semua yang berada di situ berlari-lari untuk berada di dalam kotak itu apabila soalan diajukan tentang “Siapa di sini percaya bahawa Malaysia merupakan negara maju dan harmoni” dan “Siapa di sini yang bangga menjadi rakyat Malaysia”.
Ketika kelihatan tiada seorang pun berada di luar kotak berlainan, soalan terakhir diajukan, “Siapa di sini yang boleh menyanyikan lagu Negaraku”. Dan secara automatik semua bersemangat menyanyikan lagu Negaraku serentak sebaik sahaja muzik dimainkan. Raut wajah masing-masing ketika ini kelihatan sebak, tersenyum bangga dan seolah-olah tidak percaya kiri dan kanan mereka bukan lagi dalam kalangan kaum yang serupa. Semua bersatu dalam kotak yang sama.
Jadi, apa makna dan mesej yang mahu disampaikan melalui permainan ini? Secara tidak sedar, sebenarnya lebih banyak persamaan daripada perbezaan antara rakyat yang berbilang kaum ini. Kita telah berjaya membuktikan bahawa perpaduan adalah milik kita. Sama ada Melayu, Cina atau India, kita punyai semangat itu. Semangat toleransi, kerjasama dan saling membantu tanpa mengira batasan kaum mengalir dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Inilah uniknya kepelbagaian masyarakat di negara ini. Masing-masing menghormati agama yang dianuti, kepercayaan yang diamalkan, budaya yang diikuti serta makanan tradisi yang dinikmati. Tidak ada siapa mempertikaikannya.
Semua bebas melakukan apa yang disukai selagi ia tidak melanggar batas dan hak-hak yang jelas terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Nikmat kerukunan dan keharmonian ini perlu dikekalkan bersama. Dalam hal ini generasi muda hari inilah menjadi kumpulan rakyat terpenting bertanggungjawab mengekalkan keharmonian yang dinikmati sejak negara merdeka walaupun mereka tidak melalui zaman kesusahan di era penjajah. Jangan dibiarkan budaya dan pemikiran barat menjajahi cara hidup anak muda sehingga sanggup menggadaikan identiti negara bangsa sendiri dengan menganggap ia tidak lagi relevan dan sesuatu yang kolot untuk dipelihara.
Mungkin peringatan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj wajar direnungi bersama. Ungkapan popular beliau: “Negeri kita ini unik. Tidak ada ‘isme’ yang boleh diimport dari luar negeri. Kita kenalah tadbirkan negeri ini secara sendiri. Jika kita cuba hendak tiru mana-mana ‘isme’ dari negeri luar, maka sudah tentu tidak dapat diterima rakyat negeri ini.
Bapa Kemerdekaan itu seterusnya meninggalkan pesanan, “Semangat Kebangsaan hendaklah dijadikan baja bagi menyuburkan kemerdekaan yang kita capai. Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapat, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan. Dengan kerananya kita terpaksa mengorbankan, bukan sahaja wang ringgit dan usaha tenaga bahkan jiwa kita sendiri juga.”
Malaysia ini kita punya. Sayangi Malaysiaku. Selamat Hari Kebangsaan.











