Snailfish spesies baharu laut dalam - Utusan Malaysia

Snailfish spesies baharu laut dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebuah eksplorasi ke salah satu tempat paling dalam di bumi buat pertama kalinya berjaya merakam video dan gambar tiga spesies baharu ikan snailfish yang sukar ditemui.

Melibatkan satu pasukan seramai 40 orang saintis dari 17 negara berbeza termasuk Dr. Alan Jamieson dan Dr. Thomas Linley dari Universiti Newcastle, Britain, ekspedisi ke Atacama Trench iaitu kawasan lautan yang terletak di pantai barat Amerika Selatan tersebut menemui banyak maklumat baharu.

Dinamakan masing-masing buat sementara sebagai snailfish Atacama ‘merah jambu, biru dan ungu’, rakaman video itu menunjukkan corak pemakanan serta interaksi ikan-ikan tersebut di dunia rahsia mereka yang terletak kira-kira 7,500 meter (36,000 kaki) di bawah permukaan laut.

Laporan mengenai ikan bersaiz kecil dan lutsinar yang merupakan sebahagian daripada keluarga Liparidae itu dipaparkan dalam Challenger Conference 2018 di Universiti Newcastle dari 10 hingga 14 September lalu.

“Ada sesuatu tentang snailfish yang membolehkannya menyesuaikan diri dengan kehidupan di lautan yang sangat dalam.

“Di luar jangkauan ikan daripada spesies lain, mereka bebas daripada pesaing dan pemangsa,” ujar Linley.

“Seperti gambar dan video yang menunjukkan dengan jelas terdapat banyak haiwan pemangsa di sana, snailfish muncul pemangsa nombor satu dan mereka sangat aktif.

“Struktur gelatinnya bermakna mereka sempurna disesuaikan dengan tekanan yang melampau dan sebenarnya struktur paling sukar di dalam badannya ialah tulang pada bahagian dalaman telinga yang memberikan keseimbangan selain daripada gigi ikan tersebut.

“Tanpa tekanan yang melampau dan suhu sejuk untuk menyokong badan mereka, snailfish sangat rapuh dan cair dengan cepat apabila dibawa ke permukaan laut,” jelasnya.

Saintis di Universiti Newcastle menjadi teknologi perintis untuk penerokaan di persekitaran laut dalam selama lima tahun lalu.

Definisi tinggi

Mereka berjaya melakukan kira-kira 250 eksplorasi di laut dalam dengan menggunakan alat yang mengaplikasikan teknologi dikenali sebagai sistem ‘pendaratan’ (lander) yang dilengkapi kamera definisi tinggi (HD) serta perangkap.

Direka dan dibangunkan di Universiti Newcastle, lander dijatuhkan dari kapal dan bebas untuk tenggelam ke dasar lautan. Ia kemudian menjalankan pelbagai tugas pemantauan dan pengambilan sampel.

“Ia boleh mengambil masa empat jam bagi perangkap pada lander tersebut untuk tenggelam ke bahagian bawah lautan.

“Selepas menunggu selama 12 hingga 24 jam lagi, penyelidik menghantar isyarat ‘akustik’ kepada perangkap tersebut yang kemudian melepaskan beban bagi membolehkan lander naik ke permukaan dengan bantuan teknologi apungan.

“Ini membolehkan kami menangkap spesimen ikan dan membuat rakaman video hidupan di dasar lautan yang sangat dalam itu.

“Lebih daripada 100 jam video dan 11,468 keping gambar berjaya dirakam di dasar lautan menerusi eksplorasi kali ini,” ujar Linley lagi.

Selain snailfish, pasukan penyelidik itu juga berjaya merakam gambar dan video beberapa ekor isopods dari keluarga crustaceans dikenali sebagai munnopsids.

“Saiznya adalah kira-kira sebesar tapak tangan orang dewasa.

“Ia mempunyai kaki yang sangat panjang dan membolehkan ia berenang ke belakang serta ke bawah.

“Ia menggerakkan dirinya dengan ‘pedang’ yang terdapat pada bahagian dadanya yang sebenarnya berfungsi sebagai ‘tumit kaki’ sebelum merapatkan dirinya di dasar laut serta menyebarkan kaki untuk bergerak tidak ubah seperti labah-labah.

“Kami tidak tahu apa jenis munnopsids ini tetapi ia sangat luar biasa terutamanya ‘gerakan’ yang dilakukannya ketika beralih daripada berenang ke mod berjalan,” kata Linley.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN